Pergerakan Wanita Barisan
Nasional dan Wanita UMNO Malaysia, serta semua ahli Wanita UMNO dan BN, rasa
teramat kesal dan kecewa di atas tindakan Dato’ Kamilia bertanding di atas
tiket bebas di Parlimen Kuala Kangsar setelah beliau tolak tawaran BN untuk
bertanding kerusi DUN Bukit Chandan seperti yang diperjelaskan oleh YAB
Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO pada 18hb April 2013.
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil berkata, Dato’ Kamilia telah buat keputusan ini dengan sendiri sekaligus melanggar peraturan disiplin UMNO dan BN dan akan menghadapi tindakan tegas seperti yang diumumkan oleh Pengerusi BN dan Timbalan Pengerusi BN.
“Selama empat tahun, saya telah tentukan dan kemaskinikan satu sistem Jentera Wanita Pilihanraya Umum yang sistematik dan mantap untuk Wanita UMNO dan Wanita BN, termasuklah untuk menghadapi apa jua situasi yang luar biasa.
“Jentera Wanita ini yang dinamakan Jentera Jalinan Rakyat (JR) telah bertugas di semua peringkat, terutama di peringkat akar umbi dengan baik, penuh komitmen dan kesetiaan kepada perjuangan Parti walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk tidak dapat peluang untuk menjadi calon. Ini adalah kerana perjuangan mereka ikhlas, tidak pentingkan diri dan sabar dalam perjuangan,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, jentera Jalinan Rakyat akan berjalan dengan penuh disiplin tidak kira sesiapapun yang membelot atau mengkhianati Parti kerana kepentingan diri sendiri.
Jentera Jalinan Rakyat di Kuala Kangsar berjalan
dengan baik di bawah kepimpinan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian, Nor Rizan
Subehi yang selepas ini akan memangku jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala
Kangsar.
“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada
kepimpinan dan semua ahli Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar kerana di saat
mereka diduga mereka menunjukkkan semangat kesetiaan yang tidak berbelah bagi
kepada UMNO dan Barisan Nasional, terutama dikala kita menghadapi PRU-13 ini,”
tambahnya.
0 Komen