EXCO Selangor - Ibarat "rumah dah siap tapi pahat masih berbunyi" - Budiman


Walaupun kemelut yang kerajaan negeri Selangor hari ini di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim diibaratkan `bagai api dalam sekam’ namun Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi ingin merakam terima kasih atas kuasa demokrasi, rakyat telah memilih kerajaan pakatan untuk menerajui kerajaan negeri Selangor pada PRU13 yang lalu.

Sehubungan dengan itu, kuasa rakyat terus untuk memilih kerajaan terus subur dalam Negara kita dan Selangor menjadi bukti proses demokrasi berjalan dengan lancar dan tersusun.

“Namun, kemenangan besar kerajaan pakatan ini tidak mencerminkan gabungan mereka yang sebenarnya, ‘rumah dah siap tapi pahat masih berbunyi,’ itulah perumpamaan yang sesuai untuk digambarkan kepada wajah kerajaan pimpinan pakatan di negeri Selangor pada ketika ini.

Hampir dua minggu PRU13 meninggalkan kita, tapi di mana kerajaan negeri Selangor yang sebenarnya? Sampai hari ini, Khalid Ibrahim seakan-akan sukar untuk membentuk barisan EXCO kerajaannya.

Ianya bermula sebelum perlantikan jawatan Menteri Besar, apabila Timbalan Presiden PKR yang juga Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali seakan-akan memperlekeh kewibawaan Tan Sri Khalid Ibrahim secara tidak langsung menerusi twitternya,” ujarnya yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar.

Tambahnya, usaha memperlekeh Khalid Ibrahim tidak terhenti begitu sahaja, malah selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, beliau masih gagal membentuk barisan EXCO dan yang terkini, DAP yang merupakan rakan sekutu pakatan pula mempersoal jumlah kerusi EXCO yang bakal diterima oleh DAP.

“Adakah kemelut demi kemelut yang melanda pantadbiran kerajaan Khalid Ibrahim ini akan membantu rakyat Selangor menghadapi kehidupan yang lebih selesa?

Oleh itu, rakyat harus sedar, hanya kerajaan yang stabil sahaja mampu memberikan kehidupan yang sempurna kepada rakyat, tetapi apa yang diperlihatkan di negeri Selangor hari ini, kesannya tidak baik kepada rakyat.

Rakyat harus melihat kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan dan pentadbiran kerajaan BN, tidak banyak kemelut dalam perlantikan Menteri Besar, kalau ada pun akhirnya dapat diselesaikan dalam suasana keharmonian dan persaudaraan. Bahkan dalam pemilihan EXCO kerajaan negeri, perlantikan dibuat dengan teratur dan memenuhi keperluan rakyat,” tambahnya lagi.  
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment