“Sekiranya Pakatan tersebut merugikan Islam dan Melayu, Pas keluar
PR! Itulah antara kata-kata yang dituturka oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang sebelum ini yang menegaskan, parti itu akan keluar dari pakatan
pembangkang sekiranya kerjasama dengan PKR dan DAP merugikan Islam dan Melayu.
Penegasan tersebut dibuat pada Februari lalu, di hadapan hampir 10,000
penyokong PAS yang hadir dalam Program Pas Ganti Umno Ke-7 (PGU 7.0) di Banggol
Peradong, Kuala Nerus.
Jika dilihat kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang
baru sahaja melabuhkan tirainya ini, PAS sewajarnya mengotakan janjinya sebelum
ini dengan keluar dari pakatan pembangkang kerana ia jelas telah merugikan
Melayu dan Islam di dalam parti itu. Kerjasama politik atau diistilahkan PAS
sebagai tahalluf siyasi yang dibuat dengan PKR dan DAP jelas gagal
memperkasakan Melayu dan Islam itu sendiri.
Pada 2 Mei lalu, beberapa hari sebelum PRU13, kepimpinan pusat PAS
sudah meminta akar umbi yang mahu parti Islam itu keluar daripada Pakatan boleh mengusulkan cadangan tersebut pada
muktamar yang dijadualkan hujung tahun ini. Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib
berkata, perkara itu boleh dibincangkan secara bersama dan sebarang keputusan
bakal ditentukan mengikut suara majoriti ahli parti.
“Sebaik sahaja pilihan raya berakhir, kita akan menyelesaikan
perkara ini. Muktamar akan diadakan selepas pilihanraya umum dan akar umbi
boleh menyatakan hasrat mereka kepada kepimpinan parti. Kita akan membuat
keputusan itu, tetapi bukan sekarang,” katanya.
Pada pilihan raya umum 2008, kerusi Parlimen yang ditandingi PAS
adalah sebanyak 66 kerusi dan menang 23 kerusi, manakala pada pilihan raya umum
2013, jumlah yang ditandingi parti itu meningkat kepada 76 kerusi tetapi hanya
mampu memenangi 21 kerusi sahaja.
Berbeza dengan Umno, jumlah kerusi yang dimenangi pada pilihan raya 2013 adalah sebanyak 88,
iaitu pertambahan sebanyak 10 kerusi daripada keputusan pilihan raya 2008.
Terdapat petunjuk jelas di sini, Umno masih lagi relevan dikalangan sebahagian besar
masyarakat Melayu berbanding PAS yang semakin merosot sokongan.
Kerajaan Perpaduan
Idea Abdul Hadi pada 2009 mengenai pembentukkan kerajaan perpaduan
perlu dinilai semula kerana ianya dilihat mampu untuk menyelesaikan kemelut
yang sedang melanda demi kebaikan rakyat dan negara.
Jika dahulu ada pihak yang berpendirian bahawa cadangan untuk
mewujudkan kerajaan perpaduan tidak menguntungkan PAS, tetapi kini sudah jelas
terbukti kerjasama PAS dalam Pakatan juga tidak memberi sebarang manfaat kepada
parti itu.
Perbincangan dan kajian mendalam perlu dibuat oleh kedua-dua parti
untuk merungkai kekusutan yang berlaku dalam politik negara, lebih-lebih lagi
kedudukan orang Melayu dan agama Islam yang mula dicabar dan diganggu gugat
pihak tertentu. Kekalahan beberapa pemimpin kanan PAS seperti Salahuddin Ayub,
Mohamad Sabu, Dr. Dzulkefly Ahmad yang menolak kerajaan perpaduan telah membuka
satu dimensi baru dalam usaha ke arah perpaduan itu.
Malah, tindakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang tidak
merestui Naib Presiden PAS, Datuk Husam Muda dilantik semula sebagai exco juga
mengejutkan.
Menurut Menteri Besar Kelantan yang baru, Ahmad Yaakob berkata
nama Husam telah diletakkan di tempat paling atas antara barisan pimpinan yang
dipilihnya, namun telah ditolak oleh baginda menyebabkan beliau terpaksa
mencari pengganti lain untuk memastikan proses angkat sumpah dapat dijalankan.
"Nama Husam atas sekali, yang keduanya Exco lain termasuk
juga Datuk Amar (Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah) dan termasuk juga Ustaz Latiff
(Abdul Latiff) ini nama kita kemukakan untuk mendapat kebenaran atau pun
keizinan Tuanku bagi pelantikan sebagai Exco.
"Apabila diangkat, tuanku tak naik (tolak) nama Husam dengan
Ustaz Latiff, turun (senarai nama dikembalikan) supaya proses semula tanpanya,
ini yang memberatkan ambo (saya), bagaimanapun mengingatkan kalau tidak ikut
tidak boleh angkat sumpah, jadi angkatlah ambo sebagaimana yang dipersetujui,
masa itu sudah dekat pukul 4 petang," katanya.
Selain hilang Kedah, PAS turut kehilangan lima kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) di Kelantan, iaitu daripada 37 kerusi kepada 32 kerusi
DUN pada pilihan raya lalu.
Perkara asas yang perlu dititikberatkan adalah keikhlasan semua
pihak dan pemimpin Melayu harus buktikan mereka juga boleh duduk semeja tanpa
mengira sentimen politik demi mempertahankan maruah agama dan bangsa.
Kerajaan perpaduan dilihat mampu mewujudkan satu landskap politik
baru dengan pembentukan satu kerjasama yang ikhlas untuk kestabilan negara.
Muzakarah diantara Umno dan PAS yang sudah lama terhenti perlu diadakan semula
untuk mencapai matlamat itu.
8:47 AM
Assalam Bro
Masalahnya dengan PAS ni... Siang hari mereka bercakap macam ulamak... Bila malam tu yang tak tahan... dah macam ular dalam semak... Tak ada pendirian... macam lalang...