Kerajaan negeri Johor akan mengkaji semula
pengeluaran lesen perniagaan pusat hiburan keluarga oleh Pihak Berkuasa
Tempatan di negeri ini sebagai usaha membanteras kegiatan jenayah dan gejala
sosial.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata
rombakan perlu dilakukan memandangkan ada pusat perniagaan yang didaftarkan
atas nama pusat hiburan keluarga itu mengendalikan perniagaan tidak sewajarnya
seperti judi Internet.
“Ada beberapa kesukaran apabila pihak berkuasa melakukan serbuan
kerana pengendalinya mengubah pusat judi itu sebagai pusat hiburan keluarga.
Mereka (pengendali) bijak, jadi kita (kerajaan negeri) mesti kena lebih jadi
bijak.
“Kalau mahu berfungsi sebagai pusat Internet, maka lesen hendaklah
berdaftar sebagai pusat Internet dan tidak boleh berdaftar sebagai pusat
hiburan keluarga,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian
selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di
sini hari ini. Hadir sama, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.
Beliau berkata terdapat 155 pusat hiburan keluarga di seluruh
negeri ini dan kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan lesen untuk perniagaan
pusat hiburan keluarga sekiranya masalah berkenaan berterusan.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan memberi perhatian
serius terhadap isu keselamatan di negeri ini demi menjamin kesejahteraan
rakyat dan pelabur.
“Saya ditaklimatkan bahawa keadaan di Johor aman, selamat dan
terkawal. Indeks jenayah di negeri ini juga menunjukkan penurunan selama lima
tahun berturut-turut. Johor bukan negeri tertinggi dari segi jenayah walaupun
ada pihak yang menuduh sedemikian,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamed Khaled turut meminta orang ramai supaya
sentiasa bekerjasama dengan polis memandangkan penglibatan orang awam khususnya
penyertaan dalam Rakan Cop merupakan cara terbaik dalam menangani jenayah.
0 Komen