Najib-Muhyiddin Disaran Kekal Presiden Dan Timbalan Presiden UMNO - KJ


Pergerakan Pemuda UMNO hari ini menyarankan agar Datuk Seri Najib Razak dan Tan Si Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan UMNO nanti.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, kita menghormati semangat demokrasi dalam parti UMNO terutamanya menerusi pindaan dalam perlembagaan parti kita, yang akan memperluas jumlah perwakilan yang akan memilih jawatan tertinggi parti termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO termasuk jawatan Majlis Tertinggi UMNO dan jawatan tertinggi dalam pergerakan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO.

“Kita menghormati semangat demokrasi tersebut, kami juga berpendapat bahawa dalam senario pasca PRU13, kita dapati perkara pertama yang perlu kita utamakan ialah untuk memperkukuhkan parti kita sendiri. UMNO telah mencatat prestasi yang baik, kita telah meningkat kerusi parlimen kita, sekarang ini jauh lebih baik dari PRU12.

UMNO juga telah banyak menyumbang kerusi yang paling banyak dalam BN. Oleh yang demikian, kita harus memperkukuhkan lagi UMNO supaya UMNO terus jadi tunjang kepada BN dan pada waktu yang sama, ada beberapa parti kompenan menghadapi sedikit masalah, UMNO mesti berada di hadapan untuk mengetuai dan memaju pembangunan dan menentukan hala tuju BN menjelang PRU14,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di PWTC di sini, sebentar tadi.

Sehubungan dengan itu, walaupun menghormati proses demokrasi dalam UMNO, tetapi atas kesedaran perlu diperkukuhkan lagi UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah membuat ketetapan dan mengusulkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dan menyokong agar Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO untuk pemilihan yang akan datang.

Dalam masa yang sama, Pemuda UMNO turut menolak cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal yang akan mewakili masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Masanya belum sesuai untuk BN dijadikan parti tunggal.  Sistem parti komponen dalam BN yang mewakili kaum tertentu dilihat masih relevan dalam amalan politik di Malaysia.

"Pemuda UMNO mahu komponen dalam BN kekal sebagai parti yang mewakili bangsa masing-masing seperti sedia ada," ujarnya yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional.

Ini merupakan mesyuarat pertama Exco Pemuda selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lepas.

Cadangan menjadikan BN sebagai parti tunggal disuarakan pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn yang mahu BN bersifat sebagai satu parti.

Chang sebelum ini berkata usaha ke arah itu perlu dilakukan kerana PRU-13 menunjukkan pengundi bandar dan pengundi muda tidak lagi mengundi berdasarkan kaum.


Mengulas lanjut Khairy sebaliknya mencadangkan supaya resolusi yang diluluskan Dewan Tertinggi BN sebelum ini bagi membuka keahlian terus tanpa menjadi ahli kepada mana-mana komponen BN diaktifkan semula sebagai alternatif kepada cadangan BN menjadi parti tunggal.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment