Kenyataan
Media
YBhg
Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi
Sejak dua tiga hari yang lepas, banyak berita diterbit mengenai
'buku Pak Lah'. Isu ini juga mendapat liputan luas dalam media sosial dengan
pelbagai reaksi dan komen.
Sebelum saya memberi apa-apa komen, mungkin saya perlu memberi
sedikit penjelasan tentang buku tersebut.
Pertamanya, buku tersebut tidak ditulis oleh saya. Buku ini
disusun oleh dua ahli akademik, James Chin dan Bridget Welsh, dengan memuatkan
beberapa rencana oleh pelbagai penulis yang telah menyumbangkan tulisan
masing-masing mengenai pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri. Ada yang
dikhabarkan positif dan banyak juga yang negatif dan kritikal.
Kedua, saya sendiri hanya terlibat melalui wawancara yang dibuat
oleh James Chin dan Bridget Welsh. Wawancara ini lebih kepada menjawab
soalan-soalan yang dibangkitkan oleh penulis-penulis yang telah menyumbang
kepada buku tersebut dan memberi saya ruang untuk menjelaskan beberapa perkara
dari sudut saya sendiri.
Ketiga, saya tidak menaja atau meminta buku tersebut diterbitkan.
Sudah menjadi perkara biasa para akademik membuat analisa tentang sejarah
politik negara kita dan sudah pasti era saya tidak terlepas dari kajian ilmiah.
Saya cuma telah setuju untuk diwawancara agar suara, pendapat serta penjelasan
saya dapat dimuatkan didalam buku tersebut.
Keempat, oleh kerana saya bukan penerbit, pencetak, pengarang
ataupun penulis buku tersebut, saya tidak tahu, tidak diberitahu dan tidak
bertanggungjawab diatas mana-mana jemputan untuk melancarkan atau membincangkan
buku tersebut. Berita yang mengatakan pemimpin dari parti pembangkang dijemput
untuk melancarkan buku ini di Singapura - kalaupun benar - adalah keputusan
penerbit buku, bukan saya.Kelima, saya tidak merancang untuk menghadiri
pelancaran buku tersebut. Ini kerana saya tidak mahu orang membuat andaian yang
buku ini ditulis atau ditaja oleh saya. Saya cuma menjawab soalan yang ditanya.
Biarlah jawapan-jawapan saya menjadi tumpuan pembaca.
Berlatarbelakangkan fakta-fakta diatas, saya berharap orang awam
mendapat gambaran yang lebih jelas tentang 'buku Pak Lah'. Sekali lagi, ini
bukan buku yang ditulis atau ditaja oleh saya. Mungkin ada yang bertanya,
kenapa Pak Lah setuju untuk diwawancara oleh pengarang-pengarang yang dikatakan
selalu menulis rencana yang kritikal? Saya bersetuju diwawancara kerana perlu
ada penjelasan saya sendiri didalam kajian ilmiah ini. Suka atau tidak, setuju
atau tidak, saya berpegang kepada prinsip keterbukaan sebagai paksi kepada
demokrasi yang matang. Prinsip keterbukaan inilah yang saya amalkan apabila
didatangi dengan permohonan oleh para pengarang buku ini untuk diwawancara.
Walaupun saya dimaklumkan buku ini bakal memuatkan rencana yang kritis dan
'unflattering' tentang kepimpinan saya, saya masih setuju diwawancara atas
semangat keterbukaan demi perdebatan yang seimbang dengan mengambil kira semua
sudut pandangan.
Sudah pasti pandangan-pandangan dalam buku ini akan mengundang
reaksi-reaksi tertentu. Terpulanglah kepada semua pihak untuk membuat rumusan
masing-masing. Prinsip keterbukaan bermaksud kita sedia memberi ruang kepada
semua untuk bersuara. Tetapi janganlah pula ada yang membuat andaian bahawa
buku ini ditulis oleh Pak Lah yang sudah bersubahat dengan pembangkang untuk
menentang partinya sendiri. Itu sudah memesong fakta dan menjadi fitnah. Apa
juga teguran yang diberikan dalam wawancara saya yang dimuatkan dalam buku ini
dibuat kerana saya ingin melihat UMNO terus diberikan mandat dan kepercayaan
oleh rakyat. Saya tak pernah meninggalkan UMNO dan Insya'Allah bila tiba
masanya nanti, saya akan menghembuskan nafas terakhir saya di dunia ini masih
lagi sebagai ahli UMNO yang cintakan negaranya.
12 Ogos
0 Komen