Kerajaan Mantapkan Usaha Bantu Pasar, Hasilkan Produk PKS Johor

Kerajaan negeri Johor akan meneruskan usaha secara proaktif untuk membantu memantapkan pengeluaran produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dari segi kualiti mahupun kuantitinya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Usahawan dan Koperasi Negeri, Md Jais Sarday berkata inisiatif menerusi agensi keusahawanan Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) bertujuan memastikan usahawan lebih berdaya saing.

"Kerajaan menyedari antara faktor utama yang mempengaruhi prestasi PKS adalah akses kepada pasaran dan kelemahan aspek ini akan menghalang mereka untuk mencapai potensi sepenuhnya.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri menerusi MPUNJ dan pelbagai jabatan akan terus membantu pengusaha PKS agar mereka lebih berjaya dalam memasarkan perkhidmatan dan produk," katanya pada Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) kali ke-13 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Mohd Ismail Roslan (BN-Semerah) yang mahukan penjelasan berkenaan perancangan negeri kerajaan membantu pengusaha PKS secara lebih berkesan.

Md Jais berkata antara usaha yang telah dan akan dilaksanakan ialah penyertaan usahawan PKS Johor dalam pelbagai ekspo bagi mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka di samping menceburi pasaran baharu melalui program pemadanan perniagaan.

Antaranya ialah Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (Maha) dan melalui penyertaan itu, ramai usahawan PKS Johor berjaya mencatat jualan memberangsangkan, katanya.

Beliau berkata hasil daripada program tersebut, kini semakin banyak produk PKS negeri boleh didapati di pasaraya besar seperti Giant, Tesco dan Mydin malah  ada yang berjaya mengeksportnya.

"Untuk meningkatkan lagi keberkesanan usaha pemasaran, kerajaan menerusi agensi berkaitan akan terus mengadakan lebih banyak program pembangunan produk PKS seperti peningkatan kualiti dan pelabelan produk," katanya.


Di samping itu, katanya kerajaan negeri juga menggalakkan pengusaha PKS mempelbagaikan produk dan penggunaan mesin moden supaya kualiti dan kuantiti produk dapat dipertingkatkan dalam skala besar.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment