P. Waytha Moorthy Didesak Letak Jawatan

P. Waytha Moorthy hari ini didesak supaya meletak jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana gagal memahami kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan.

EXCO Pergerakan Pemuda Umno Datuk Sohaimi Shahadan berkata Waytha Moorthy tidak sepatutnya membuat kenyataan yang mengikut emosi seolah-olah beliau masih lagi seorang pemimpin anggota badan bukan kerajaan (NGO).

"Kalau nak jadi hero, baik beliau lepaskan jawatan. Ini soal jenayah, bukan boleh main-main. Sebelum keluarkan kenyataan, berhati-hati dan kaji betul-betul kenapa polis bertindak sedemikian dan jangan cepat melatah.

"Polis ada Prosedur Standard Operasi (SOP) mereka dalam memerangi penjenayah dan mereka ada maklumat lengkap dan ini bukanlah kejadian pertama yang berlaku. Pemuda mendesak, jika beliau mahu menjadi hero, letak jawatan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sokongan serupa juga turut dizahirkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengkaji semula kedudukan timbalan menteri itu.

Dalam pada itu, Sohaimi berkata soal memerangi jenayah tidak seharusnya dilihat dalam konteks perkauman, yang hanya akan memecah belahkan perpaduan kaum di negara ini.

"Saya merasakan bahawa Waytha Moorthy terkeliru dengan jawatannya sekarang sama ada masih menjadi pemimpin kepada NGO atau memegang jawatan timbalan menteri dalam kerajaan pusat," katanya.


Selain itu, beberapa NGO juga mendesak supaya Waytha Moorthy melepaskan jawatan dalam kerajaan pusat.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment