Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan
Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong sebagai buta sejarah
kerana enggan menerima hakikat pembabitan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam
memperjuangkan kemerdekaan negara.
Katanya sejarah adalah fakta sebenar, bukan rekaan yang boleh
ditolak sesuka hati hanya kerana sesetengah pihak tidak suka dengan kejadian
yang berlaku.
"Pahit ataupun tidak kita harus terima, kerana itu sejarah.
Kita tidak boleh tukar sejarah yang berlaku dulu," katanya kepada
pemberita selepas menghadiri Program Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah
Menengah Kebangsaan Pondok Upih, di sini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya
dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Zainal Abidin Osman.
Mohd Shafie berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Sim yang
meminta kerajaan BN berhenti menyebarkan propaganda politik melalui
penyelewengan sejarah termasuk dalam sukatan pelajaran Sejarah di peringkat
sekolah.
Khamis lepas, Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik Dapsy
Kebangsaan dilapor oleh portal berita
Roketkini.com sebagai berkata kecaman terhadap Sasterawan Negara Datuk A. Samad
Said adalah usaha BN menutup sejarah asli negara bagi mencapai kepentingan
politik sempit.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata kemerdekaan negara dicetuskan
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj yang juga Presiden Umno ketika itu.
"Maknanya Umno, BN banyak pengorbanannya dalam memerdekakann
negara. Itu adalah sejarah," katanya.
Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah berkata pihaknya merancang mengubah suai Medan Infodesa di seluruh negara
menjadi mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).
Perkara itu bagi memastikan semua kawasan mempunyai mini RTC yang
akan membantu masyarakat setempat, katanya.
0 Komen