PM Umum RM700 Juta Dana Tambahan Kepada Tekun, RM300 Juta Kepada Amanah Ikhtiar


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  hari ini mengumumkan dana tambahan berjumlah RM700 juta kepada Tekun Nasional dan tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM300 juta untuk tempoh lima tahun.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata bilangan usahawan Tekun Nasional juga dijangka meningkat kepada 370,000 pada 2015 manakala sahabat AIM pula disasarkan meningkat kepada 500,000 pada 2015.

Berucap pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di sini, Najib berkata peranan agensi pembangunan usahawan Bumiputera seperti AIM, Tekun Nasional, MARA dan PUNB akan diperkukuh dalam mengatasi isu akses kepada pembiayaan bagi kalangan usahawan kecil dan sederhana.

Ini, kata Najib bagi memastikan bilangan usahawan Bumiputera yang menerima pembiayaan dapat ditingkatkan.

Perdana Menteri turut memperkenal skim pembiayaan unik baharu - Skim Permulaan 'Entrepreneur' Baharu Bumiputera (Superb) yang akan membantu syarikat permulaan menerusi dana sebanyak RM100 juta, dalam tempoh tiga tahun.

Superb akan menyediakan kemudahan geran sehingga RM500,000 kepada usahawan baharu yang kreatif dan inovatif dalam bidang-bidang strategik dan mempunyai potensi masa hadapan yang besar.

"Demi kelangsungan agenda, kita wajar membina satu Komuniti Baharu Usahawan Bumiputera yang mempunyai daya tahan, daya saing, daya juang, inovatif dan berani mengambil risiko.

"Mereka juga perlu mempunyai minat yang tinggi dalam menyertai bidang bidang baharu berasaskan pengetahuan seperti teknologi maklumat, bioteknologi dan teknologi hijau," katanya.

Perdana Menteri berkata bagi menjawab keluhan usahawan yang mengalami kesukaran mendapatkan akses pasaran, semua Kementerian dan GLC telah diarahkan untuk mengukuhkan sistem pembangunan vendor Bumiputera.

Pemilihan vendor juga mestilah berasaskan meritokrasi dalam kalangan Bumiputera bagi memastikan mereka dapat dipupuk supaya berdaya maju dan mampan, katanya.

Menyentuh pemerkasaan Program Pembangunan Vendor (VDP), Najib berkata Petronas akan melonjakkan program VDPnya bagi mengukuhkan rantaian bekalan sektor minyak dan gas.

Tindakan yang sama akan dilaksanakan Tenaga Nasional dalam sektor tenaga, Telekom Malaysia dan AXIATA dalam sektor komunikasi, UEM dalam sektor pembinaan serta Sime Darby dan Felda Global Ventures untuk sektor perladangan.

"Seiring itu, saya juga mahukan jangka masa kontrak dan konsesi vendor disesuaikan dengan tempoh bayaran balik pinjaman bank agar projek mereka dapat berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, sebagai langkah untuk memastikan peluang syarikat Bumiputera memperoleh kontrak serta sebagai persediaan untuk bersaing pada masa hadapan pula, dasar 'Carve-out' akan diperluas kepada projek-projek besar lain dalam kementerian serta GLC dan GLIC.

"Dasar ini telah berjaya dilakukan dalam projek MRT, dengan 47 peratus atau RM9.0 bilion diluluskan kepada syarikat Bumiputera terpilih secara meritokrasi.


"Sebagai contoh, empat projek tambahan yang telah dikenal pasti untuk terlibat dalam program ini ialah Projek Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, MATRADE Exhibition Centre dan Program Pembangunan Institut Penyelidikan Getah Sungai Buloh," kata Najib.
Tags: , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

2 Komen

Post a Comment