Teks Ucapan Penuh PM Pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera


Berikut adalah teks ucapan penuh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor:

Bismillahirrahmannirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat berkumpul pada pagi ini, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk Universiti Teknologi MARA, sebuah institusi simbol serta perlambangan kepada perjuangan Melayu dan Bumiputera yang tiada pernah hentinya.

2. Terlebih dahulu, saya, bagi pihak Kerajaan, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan Bumiputera yang telah menunjang, mandat serta kepercayaan kepada Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-13... untuk terus menerajui kepimpinan negara. Apa yang lebih mengharukan adalah, UMNO sebagai parti tonggak kepada Barisan Nasional, telah berjaya menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada 88.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

3. Ini membuktikan, walau apapun rintangan, sekali apapun tohmahan, Kepimpinan Transformatif UMNO, bersama parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain terus kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan rakyat, bagi tempoh 5 tahun akan datang,.... demi meneruskan agenda Melayu dan Bumiputera di tanah air tercinta ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

4. Setelah selesai Pilihanraya Umum yang lalu, kita mendengar pelbagai rungutan, pelbagai keluh-kesah serta ketidakpuasan hati, yang dibangkitkan oleh masyarakat Bumiputera, tentang nasib, masa depan dan halatuju, bersama anak-anak cucu mereka, di bumi tanah tumpah darah kita.

5. Sememangnya, kita mendengar rintihan tuan-tuan dan puan-puan. Kita juga, menyelami denyut nadi serta resah gulana tuan-tuan dan puan-puan......, Yes... indeed!!!... we hear you... we hear you loud and clear.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

6. Sejak negara mencapai kemerdekaan, tanggal 31 haribulan Ogos tahun 1957, rakyat telah hidup dalam keharmonian, bersatu padu, membina negara. Pada 16 haribulan September 1963, Sabah dan Sarawak pula bergabung bagi membentuk Malaysia. Alhamdulillah, penyatuan ini, membawa sejuta rahmat kepada kita. Lusa, dengan izin Tuhan jua, kita akan menyambut genapnya lima puluh tahun, perayaan jubli emas Malaysia, yang InsyaAllah akan saya hadiri di Bandaraya Kuching dan Kota Kinabalu.
           
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

7. Menyonsong populasi negara, pada tahun 1970, Bumiputera berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus penduduk. Orang Melayu terdiri daripada sembilan suku kaum utama, orang asli pula terbahagi kepada 18 kategori, Bumiputera Sabah sebanyak 40 suku, manakala di Sarawak terdapat sejumlah 60 etnik.

8. Semasa Perhimpunan Agong UMNO Tahun 2010, saya sebut bahawa Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu, Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu, keturunan Acheh adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli adalah Melayu, Arab dan Pakistani semua juga kira Melayu, malah muallaf bertakrif Melayu, waima.... Mamak dan Malabari pun....... dah serap ke Melayu.
           
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

9. Banci Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang Melayu dan Bumiputera Islam berjumlah 59.7 peratus. Manakala Bumiputera Bukan Islam pula, 7.6 peratus bilangan daripada rakyat keseluruhannya.Unjuran terkini, setakat 2012, menganggarkan warganegara Malaysia, adalah seramai 27.4 juta orang, yang mana Bumiputera adalah 18.6 juta atau 67.9 peratus.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

10. Sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera oleh pihak Kerajaan telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut. Secara prinsipnya, perkara dan amalan ini telah diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak sekian lama oleh seluruh rakyat Malaysia, seperti mana dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas negara kita terdahulu, dilindungi, dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 153, Perkara 160 kurungan 2, Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan a. Juga Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan b.

11. Makanya, Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya, sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambilkira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

12. Perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan baik-baik oleh semua pihak bahawa kita sentiasa menginsafi dan beringat-ingat tentang Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional. Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti
Bumiputera tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan,
negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020.

13. Hatta, sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara. Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

14. Tawarikh dunia juga telah menunjukkan bagaimana jika sesebuah Kerajaan itu gagal memainkan peranan pro-aktif sebagai pengimbang sosioekonomi secara adil dan saksama, antara mereka yang memiliki dan tidak memiliki, antara pemodal dan pekerja, antara tuan punya tanah dan penyewa, antara pekerja kolar putih dan kolar biru, telah dan sedang membawa malapetaka.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

15. Jika dihimbau kembali, Dasar Ekonomi Baru yakni DEB telah diperkenalkan pada tahun 1971, oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Ayahanda saya, untuk menangani isu ketidakseimbangan sosioekonomi antara etnik dan pembasmian kemiskinan berikutan tragedi 13 Mei 1969.

16. Begitulah Dasar Ekonomi Baru telah berlangsung di antara tahun-tahun 1971 hingga 1990. Semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2010 pula, sebanyak 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan.

17. Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010. Dalam pada itu, saya juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional, semasa membentangkan Bajet tahun 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020 kelak.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

18. Sejak merdeka, Kerajaan telah mewujudkan pelbagai instrumen dan institusi demi Melayu dan Bumiputera, antaranya, Bank Bumiputera, Lembaga Urusan Tabung Haji, MARA, FELDA, RISDA, FELCRA, UDA, PERNAS, DARA, JENGKA, KETENGAH dan KESEDAR. Perdana Menteri Ketiga yakni, Tun Hussein Onn pula telah menubuhkan Permodalan Nasional Berhad dan melancarkan Skim Amanah Saham Nasional.

19. Seperti yang kita maklumi juga, kepentingan Bumiputera telah diperkukuhkan lagi oleh Perdana Menteri Keempat, yakni Tun Dr. Mahathir melalui Dasar Penswastaan dan Wawasan 2020, yang menjadi landasan perjalanan negara kini. Perdana Menteri Kelima pula, Tun Abdullah telah mewujudkan Koridor-Koridor untuk merancakkan pembangunan ekonomi wilayah.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

20. Sejak saya mengambil alih pentadbiran negara, Kerajaan telah melancarkan Model Baru Ekonomi, yang bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, dengan pertumbuhan yang saksama, menyaksikan masyarakat Melayu dan Bumiputera setanding dengan masyarakat lain pabila fajar negara maju menyinsing kira-kira tujuh tahun lagi.

21. Selain itu, secara dasarnya, Model Baru Ekonomi memperkenalkan pendekatan pembangunan secara inklusif berasaskan prinsip pertumbuhan dengan kesaksamaan atau growth with equity, bagi mempastikan semua masyarakat di Malaysia memperoleh manfaat daripada pembangunan ekonomi dan kekayaan negara.

22. Manakala, Rancangan Malaysia Kesepuluh, bermula pada tahun 2011 yang lalu hingga 2015 nanti, bertujuan untuk menyediakan peluang yang adil kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik mahupun latar kedudukan geografi, untuk terlibat sama dalam semua aktiviti ekonomi. Ini, adalah berasaskan kepada prinsip mesra pasaran, berasaskan keperluan, telus dan meritokrasi. Akan tetapi meritokrasi yang kita maksudkan di sini adalah persaingan dalam kalangan Bumiputera.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

23. Kerajaan juga telah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi bagi membentuk satu ekosistem pembangunan ekonomi negara yang teguh dan berdaya tahan. Hasil pelaksanaan program transformasi, pertumbuhan ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan yang kukuh dalam situasi ekonomi global tidak menentu. Pada tahun 2011 dan 2012, kadar pertumbuhan ekonomi negara berkembang masing-masing sebanyak 5.1 dan 5.6 peratus.

24. Apa yang ingin saya tegaskan di sini, pertumbuhan secara berterusan begini, adalah amat penting, kerana, pertama, dengan adanya pertumbuhan, barulah kita dapat mengagihkan kekayaan negara kepada seluruh rakyat Malaysia.

Tuan-tuan dan Puan-Puan,

25. Melalui perancangan ekonomi yang rapi dan bijaksana, taraf hidup Bumiputera telah meningkat. Misalnya, pendapatan purata bulanan isirumah
Bumiputera telah naik daripada 172 ringgit pada tahun 1970an kepada 4,457
ringgit pada tahun 2012 atau hampir 2,500 peratus dalam jangkamasa 42 tahun.

26. Kadar kemiskinan Bumiputera pula, telah berkurangan daripada 64.8 peratus dalam tahun 1970an kepada 2.2 peratus pada tahun 2012. Pemilikan ekuiti syarikat korporat Bumiputera juga telah meningkat daripada hanya 2.4 peratus dalam tahun 1970an kepada 23.5 peratus pada tahun 2011. 

27. Selain itu, kecuali dalam beberapa sektor guna tenaga tertentu, bilangan tenaga kerja Bumiputera dalam kategori profesional, terutamanya golongan
bertauliah seperti doktor-doktor perubatan, para jurutera dan para peguam sudah menghampiri peratusan komposisi kaum. 

28. Ini membuktikan, Dasar Ekonomi Baru, sebagai langkah awal telah berjaya menangani jurang antara kaum dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat Bumiputera. Jelasnya, sepanjang lebih 4 dekad, masyarakat Bumiputera telah melalui Fasa Pertama Transformasi.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

29. Namun begitu, Kerajaan sedia maklum bahawa masih wujudnya jurang
ketaksamaan pendapatan antara etnik. Sebagai contoh, pada tahun 2012,  pendapatan purata bulanan kaum Cina lebih tinggi berbanding Bumiputera pada nisbah 1 kepada 1.43 kali ganda.

30. Dalam konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat pula, kita masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus. Effective control kita ke atas syarikat korporat terkini hanyalah pada sekitar 10 peratus. Kerajaan juga faham bahawa penglibatan masyarakat Bumiputera dalam aktiviti keusahawanan masih tidak signifikan dan majoritinya hanya berada pada tahap usahawan kecil dan mikro.

31. Lantaran yang demikian, Tuan-Tuan dan Puan-Puan....... atas sokongan dan
dokongan yang diberikan oleh orang-orang Melayu dan Bumiputera, pada Pilihanraya Umum Ke-13 baru-baru ini...., maka, .... pada hari ini........, Kerajaan
memutuskan untuk membuat satu anjakan besar bagi melaksanakan strategi-strategi serta pendekatan-pendekatan yang konkrit lagi tuntas.

32. Perjumpaan penuh bermakna dan bersejarah ini, kita namakan sebagai  Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Segalanya ini, kita perbuat, demi membela untung nasib orang-orang Melayu dan Masyarakat Bumiputera, dari dulu, kini dan selama-lamanya........  Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini memberi fokus kepada lima strategi utama.

*** bersambung ....... 
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment