Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Pertama : MENDAYA MODAL INSAN BUMIPUTERA
33. Seperti kita maklumi, modal insan merupakan aspek terpenting
dalam
membangunkan sesebuah masyarakat. Kerajaan sebenarnya telah
berjaya menempatkan secara signifikan pelajar Bumiputera di institusi pengajian
tinggi awam dalam negeri dan luar negara. Oleh itu, fasa seterusnya adalah
pemerkasaan modal insan Bumiputera yang menjurus kepada pemadanan kelayakan dan
kemahiran tenaga kerja dengan keperluan pasaran.
34. Untuk tujuan itu, pertamanya, bagi golongan remaja yang rendah
pencapaian akademik dan tahap kemahiran, Kerajaan akan memperbanyakkan program
peningkatan kemahiran bagi menyediakan peluang kedua supaya mereka memperoleh
lebih banyak ruang untuk mendapat pekerjaan.
35. Dalam aspek ini juga, program re-skilling akan dipergiatkan.
Untuk tujuan itu, peruntukan tambahan akan diberikan kepada GiatMARA bagi
memperoleh
peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan program
latihan. Manakala bilangan program latihan yang dikendalikan oleh Institut
Kemahiran Belia Negara juga akan ditambah dengan mengamalkan pendekatan latihan
dua syif.
36. Kedua, kepada golongan graduan Bumiputera yang mengganggur
pula, Kerajaan akan menggiatkan lagi program latihan bagi mengatasi masalah
kebolehpasaran, agar bersesuaian dengan keperluan industri. Untuk tujuan
tersebut, program-program seperti Skim Latihan 1Malaysia, Graduate
Employability Management Scheme dan Program Peneraju Skil akan diperluaskan
untuk menambah bilangan penerima faedah.
37. Ketiganya, bagi menambah bilangan Bumiputera berkelulusan
tinggi, agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA akan
memperluaskan Program Pendidikan Lepasan Ijazah bagi memenuhi keperluan pasaran
terutamanya dalam bidang-bidang kritikal dan berteknologi tinggi.
38. Keempat, dalam melahirkan lebih ramai golongan profesional
Bumiputera, Program Peneraju Profesional di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan
Bumiputera serta program-program seumpamanya akan diperluaskan. Ini akan
membantu mereka memperoleh pengiktirafan sebagai tenaga kerja profesional dan
bertauliah, terutamanya dalam bidang-bidang kritikal seperti akauntan, doktor
pakar, arkitek, jurutera dan ahli sains aktuari.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Kedua : MEMANTAPKAN PEMILIKAN EKUITI BUMIPUTERA
DALAM SEKTOR KORPORAT
39. Sehingga kini, had maksimum bagi setiap individu dalam
pelaburan Amanah Saham Bumiputera adalah sebanyak 200 ribu ringgit. Justeru,
bagi menggalakkan penyertaan, terutamanya golongan menengah Bumiputera dalam
pemilikan saham, sukacita saya mengumumkan Skim Amanah Saham Bumiputera 2 atau
ASB2 akan dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad, dengan suntikan sebanyak
10 bilion unit saham.
40. Ekuinas pula akan diberi tanggungjawab untuk mengambil alih
peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya Bumiputera. Program tersebut
akan ditransformasikan melalui ekuiti dan kepakaran pengurusan, bagi membimbing
syarikat-syarikat Bumiputera supaya dapat disenaraikan di Bursa Malaysia.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Ketiga : MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET BUKAN
KEWANGAN BUMIPUTERA
41. Bumiputera masih lagi ketinggalan dalam pemilikan aset bukan
kewangan seperti rumah kediaman, premis industri dan kompleks komersial.
Sebagai contoh, dalam tahun 2012, transaksi rumah kediaman yang direkodkan oleh
Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, menunjukkan hanya 36.3 peratus transaksi
rumah kediaman melibatkan Bumiputera dengan nilainya hampir 18 bilion ringgit
atau 26 peratus.
42. Pada sudut lain pula, banyak aset bukan kewangan seperti
hartanah dalam kalangan masyarakat Bumiputera Islam, yang tidak diuruskan
secara teratur atau terbiar menyebabkan nilai aset berkenaan menjadi rendah.
Justeru, bagi
mengoptimakan nilai dan manfaat aset berkenaan, sebagai permulaan,
Yayasan Wakaf Malaysia akan diperkemaskan, untuk ditukar taraf menjadi entiti
Wakaf korporat.
43. Peranan institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan
Hartanah Berhad, Majlis Amanah Rakyat dan Perbadanan Usahawan Nasional
Berhad akan diperkukuhkan bagi membangun
atau memperoleh hartanah komersil dan industri, terutamanya di lokasi strategik
di seluruh negara.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
44. Di samping itu, kerajaan menyedari tahap kemampuan masyarakat
Bumiputera untuk memiliki rumah adalah rendah dan ditambah lagi dengan harga
pasaran rumah yang semakin meningkat. Ke arah memperkasakan pemilikan aset
hartanah, bagi menjana kekayaan Bumiputera, kerajaan melalui Syarikat Perumahan
Rakyat 1Malaysia atau PR1MA serta Syarikat Perumahan Negara Berhad dan dengan
kerjasama Kerajaan-Kerajaan Negeri, akan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu
milik kepada Bumiputera di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
45. Manakala menurut perangkaan, 58 peratus daripada 72 peratus
penduduk
Malaysia yang menetap di bandar adalah Bumiputera. Namun, Kerajaan
tahu,
peratusan pemilikan hartanah Bumiputera di kawasan bandar adalah
kecil. Maka, tanpa intervensi Kerajaan, bagi membetulkan keadaan ini, kedudukan
pemilikan hartanah Bumiputera semakin meruncing.
46. Lantaran itu, peranan UDA Corporation akan diperkukuhkan untuk
membantu membangun hartanah termasuk rumah kediaman, kompleks dan ruang
perniagaan, bangunan industri dan perdagangan di kawasan bandar.
47. Bersabit hal ini juga, saya akan mengarahkan GLC dan GLIC yang
terlibat dalam perniagaan hartanah untuk memberi penekanan kepada pembangunan
hartanah Bumiputera terutamanya perumahan, rumah kedai dan premis komersial.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Keempat : MEMPERHEBAT KEUSAHAWANAN DAN
PERNIAGAAN BUMIPUTERA
48. Sebagaimana kita maklum, perniagaan dan keusahawanan merupakan
aktiviti ekonomi terpenting bagi menjana pendapatan dan kekayaan. Walau
bagaimanapun, penglibatan Bumiputera dalam kegiatan tersebut masih rendah
disebabkan terdapat beberapa kekangan yang dihadapi termasuk teknologi
pengeluaran yang lapuk, kekurangan akses kepada dana dan modal serta pasaran
produk yang terhad.
49. Dalam mengatasi isu akses kepada dana pembiayaan bagi usahawan
kecil dan sederhana pula, peranan agensi pembangunan usahawan Bumiputera
seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan PUNB akan
diperkuatkan supaya bilangan usahawan Bumiputera yang menerima akan bertambah,
termasuk di Sabah dan Sarawak.
50. Sehubungan itu, sukacita saya umumkan, tambahan pembiayaan
pinjaman
Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak 300 juta ringgit untuk tempoh
lima tahun.
Bilangan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, yang majoritinya wanita,
disasarkan meningkat daripada 350 ribu kepada 500 ribu orang pada tahun 2015
kelak.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
51. Pada kesempatan ini juga, saya mengumumkan, dana tambahan
sejumlah 700 juta ringgit kepada TEKUN Nasional. Bilangan usahawan TEKUN
Nasional juga dijangka akan meningkat daripada 270 ribu pada tahun 2013, kepada
370 ribu pada tahun 2015.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
52. Bagi menyahut keluhan usahawan yang mengalami kesukaran
mendapatkan akses ke pasaran, maka, saya akan mengarahkan semua Kementerian dan
GLC mengukuhkan sistem pembangunan vendor Bumiputera. Pemilihan vendor mestilah
berasaskan meritokrasi di kalangan Bumiputera. Barulah usahawan Bumiputera
dapat dipupuk menjadi berdaya maju dan mampan.
53. Seiring dengan itu, saya juga mahukan jangka masa kontrak dan
konsesi vendor disesuaikan dengan tempoh bayaran balik pinjaman bank agar
projek mereka dapat dijalankan dengan lancar.
54. Berkait dengan pemerkasaan Program Pembangunan Vendor atau
VDP, PETRONAS hendaklah melonjakkan program VDP-nya, bagi mengukuh rantaian
bekalan sektor minyak dan gas. Tenaga Nasional pula dalam sektor tenaga,
manakala Telekom Malaysia dan AXIATA dalam sektor komunikasi, UEM dalam sektor
pembinaan serta Sime Darby dan Felda Global Ventures untuk sektor perladangan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
55. Dengan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini juga, saya mahukan
semua Ketua Pegawai Eksekutif di GLC menetapkan sasaran ke atas penyertaan
Bumiputera termasuk perolehan yang dianugerahkan kepada vendor. Ini wajiblah
dimasukkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama atau KPI kepada CEO atau Ketua
Pegawai Eksekutif syarikat masing-masing.
56. Sehubungan itu, suka saya kongsikan dalam sektor minyak dan
gas antara
sekarang sehingga tahun 2017, PETRONAS sedang dan akan menjalankan
beberapa projek utama dalam sektor upstream dan downstream. Melalui
projek-projek tersebut, kita merangkakan supaya syarikat-syarikat Bumiputera
mendapat manfaat daripada kontrak yang bernilai 20 bilion ringgit setiap tahun
untuk kerja-kerja perkhidmatan di sektor upstream dan downstream.
57. Jangka hayat kemudahan-kemudahan ini selalunya mengambil masa
selama 25 tahun atau lebih. Dianggarkan sekurang-kurangnya 22 skop kerja
kritikal bakal diwujudkan dan dapat memberi manfaat kepada syarikat-syarikat
Bumiputera.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
58. Bagi menangani isu rantaian perbekalan pula, Kerajaan melalui
GLC dan GLIC, akan membangunkan sekumpulan usahawan Bumiputera yang akan
melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan pembuatan dan perindustrian yang
berpotensi dan mempunyai nilai tambah tinggi.
Dalam konteks ini, GLC dan GLIC akan menerajui usaha untuk mewujudkan
beberapa konsortium syarikat Bumiputera dalam sektor-sektor yang terlibat.
Tuan-Tuan dan Puan-puan,
59. Program Penswastaan, secara umumnya, telah berjaya menjadi
pemangkin bagi mewujudkan individu dan syarikat Bumiputera yang berjaya. Oleh
itu, untuk merancakkan lagi program berkenaan, Unit Kerjasama Awam Swasta atau
UKAS akan mengambil inisiatif untuk mengenalpasti secara terpilih mana-mana
perkhidmatan Kerajaan yang berdaya maju untuk diswastakan kepada Bumiputera.
60. Sebagai langkah untuk mempastikan peluang syarikat Bumiputera
untuk memperoleh kontrak serta sebagai persediaan untuk bersaing pada masa
hadapan pula, dasar Carve-out akan diperluaskan kepada projek-projek besar lain
di bawah kementerian serta GLC dan GLIC. Dasar ini telah berjaya dilakukan di
dalam projek MRT di mana sebanyak 47 peratus atau 9 bilion ringgit telah
dianugerahkan kepada syarikat Bumiputera terpilih secara meritokrasi.
61. Sebagai contoh, empat projek tambahan yang telah dikenalpasti
untuk menyertai program ini ialah Projek Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang
City Centre, MATRADE Exhibition Centre dan Program Pembangunan Institut
Penyelidikan Getah Sungai Buloh.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
62. Demi kelangsungan agenda, kita wajar membina satu Komuniti
Baru Entrepreneur Bumiputera yang mempunyai daya tahan, daya saing, daya juang,
inovatif dan berani mengambil risiko. Mereka juga perlu mempunyai minat yang tinggi
serta passionate dalam menyertai bidang-bidang baru berasaskan pengetahuan atau
knowledge based economy seperti teknologi maklumat, bioteknologi dan teknologi
hijau.
63. Untuk tujuan ini, satu skim pembiayaan baru lagi unik
dinamakan sebagai
Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau ringkasnya SUPERB
akan diperkenalkan. Skim ini bertujuan untuk membantu syarikat start-up. Bagi
tujuan itu, dana sebanyak 100 juta ringit akan diperuntukkan dalam tempoh tiga
tahun.
64. SUPERB ini akan menyediakan kemudahan geran sehingga 500 ribu
ringgit kepada entrepreneur baru yang kreatif dan inovatif dalam bidang-bidang
strategik yang mempunyai potensi masa hadapan yang besar.
65. Pemilihan entrepreneur-entrepreneur Bumiputera ini adalah
berdasarkan
merit dan akan dibuat oleh sekumpulan panel entrepreneur di
kalangan mereka yang telah berjaya. Di samping itu, entrepreneur baru yang
terpilih akan turut mendapat perkhidmatan mentoring daripada entrepreneur yang
sudah berjaya tersebut.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Kelima : MEMANTAPKAN EKOSISTEM PENYAMPAIAN
PERKHIDMATAN
66. Sebagaimana yang saya sebutkan, Kerajaan mendengar luahan rasa
yang
dilontarkan oleh masyarakat Bumiputera berhubung tahap penyertaan
dalam program pembangunan sosioekonomi. Oleh itu, bagi mempastikan agenda
pembangunan sosioekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan secara efektif, sistem
penyampaian akan diperkemas dan diperkejap untuk mewujudkan ekosistem yang
cekap, komprehensif dan konstruktif.
67. Untuk itu, Unit-Unit Pembangunan Bumiputera atau UPB akan
diwujudkan di semua kementerian. Unit Pembangunan Bumiputera ini
bertanggungjawab bagi merangka cadangan dan melaksana inisiatif Agenda
Bumiputera.
PENUTUP
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
68. Menjiwai kepentingan dan perjuangan Bumiputera, saya ingin
memetik Tujuh Wasiat, oleh Sembilan Raja-Raja Melayu, semasa memperkenankan
perjanjian kemerdekaan untuk menubuhkan sebuah Persekutuan.
Bahawasanya:
“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan
kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan
hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu
rebutlah bersama-sama kaum lain”.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
69. Wasiat ini sangat terang lagi bersuluh. Ia telah menyatakan
tentang ekuiti
dan pemilikan orang Melayu dan kemudiannya diperluaskan kepada
Bumiputera, melalui kebersatuan Sabah dan Sarawak pabila Malaysia dibentuk 50
tahun yang lalu.
70. Kendatipun begitu, bagi pihak Kerajaan, secara tulus ikhlas
saya meminta
kepada semua pihak, agar jangan bersalah sangka atau sesekali
bersalah faham, tentang pemerkasaan ekonomi Bumiputera ini. Sesungguhnya,
inisiatif dan haluan besar ini, kita lakukan bukan dengan jalan memintas, tidak
dengan cara mengambil hak orang lain, mahupun menafikan kepentingan
sesiapa.
Ladies and Gentlemen,
71. Certainly!... We are doing what is fair,... we are doing what
is right..., and we are doing what is equitable. Maknanya, kita tidak mempunyai
apa-apa nawaitu, atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa-bangsa lain.
72. Sayugia, yang tertanam di benak sanubari saya dan kerajaan,
adalah hasrat murni untuk terus gigih mencipta serta menjana kekayaan baru.
Semoga nikmat dan kemakmurannya, dapat diraih serta dirasai oleh semua golongan
sebagai rakyat Malaysia secara adil dan saksama.
73. Bahkan, kerukunan kita telah diiktiraf pada tangga ke-20 sebagai
negara paling stabil dan aman di dunia..............., Begitulah istimewa dan
uniknya
Malaysia.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
74. Pucuk pangkalnya, hendak saya pertegaskan bahawa kita adalah
kerajaan yang berhemah lagi bertanggungjawab, ke atas seluruh lapisan rakyat,
tanpa
mengira apa jua latar belakang samada Bumiputera atau bukan
Bumiputera, Islam mahupun bukan Islam.
75. Kita juga tidak seperti sesetengah pelaku politik, yang tidak
sudah-sudah menyalakan api perkauman sehingga menggerun dan memesongkan
pemikiran rakyat.
76. Suka tidak suka, seandainya tidak berhati-hati dan terpengaruh
dengan sentimen pihak luar, melalui dalang dan petualang dalaman ini, maka,
tempiasnya akan terpercik kepada kita. Sekiranya dibiar dan tidak dibendung,
Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi merdeka pada akhirnya
akan musnah dan membungkam.... Barang dijauhkan oleh Allah jua.....
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
77. Sebagai mana di awal ucapan tadi, saya menyatakan kita
berhimpun di sini bukan untuk saja-saja, kita berkumpul di sini bukan untuk
suka-suka......... Seperti slogan yang popular, UiTM Dihatiku.... makanya,
Universiti Teknologi MARA ini sangat dekat di hati kita, sebagai sebuah
institusi Bumiputera yang
cukup membanggakan.
78. Bahkan....., masih segar lagi dalam ingatan, sewaktu berucap
sebagai Timbalan Presiden UMNO, pada Perhimpunan Agung tahun 2005.........,
saya telah mengumumkan supaya enrolmen pelajar UiTM ditingkatkan daripada 100,000
kepada 200,000 menjelang tahun 2015.
Kini,...... Alhamdulillah, bilangannya sudah pun mencecah 180,000 orang.
79. Pagi ini pula........., saya ingin mengumumkan hasrat
peningkatan enrolmen pelajar Universiti Teknologi MARA ini kepada 250,000
menjelang tahun 2020. Penambahan ini juga termasuk penubuhan beberapa lagi
kampus baru di seluruh negara.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
80. Demi Melayu......, Demi Bumiputera........, Saya ingin
mengumumkan
penubuhan Dana Pendidikan MARA yang berjumlah 1 bilion ringgit
bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan,
penyelidikan dan pembangunan serta
inovasi. Dana ini berbentuk Matching Fund
nisbah satu kepada satu antara MARA dan Kerajaan yang disalurkan secara
berperingkat.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
81. Kita juga sedar, masyarakat Bumiputera meletakkan harapan yang
tinggi
kepada TERAJU bagi menakhoda agenda pembangunan Bumiputera. Kini,
untuk membestarikan lagi TERAJU, sebagai sebuah badan yang unggul, ia akan
diletakkan langsung di bawah saya sendiri sebagai Perdana Menteri, dengan diketuai
oleh seorang Menteri atau Pegawai Eksekutif bertaraf Menteri.
82. Sebagai memenuhi hasrat kita untuk mewujudkan Komuniti
Entrepreneur Bumiputera, sukacita saya umumkan bahawa Institut Keusahawanan
Negara atau INSKEN kini, akan diletakkan di bawah seliaan TERAJU. Begitulah
juga Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau SUPERB yang baru saya
wujudkan tadi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
83. Sebagai payung dan kemuncak strategi pemerkasaan ini, sebuah
council yang dipanggil Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB akan ditubuhkan bagi menggantikan
Majlis Tindakan Agenda Bumiputera. Majlis Ekonomi Bumiputera ini akan
dipengerusikan sendiri oleh saya dan Timbalan Pengerusinya adalah YAB Timbalan
Perdana Menteri dengan keanggotaan beberapa menteri berkenaan. Keahliannya pula
bersifat kompak, di mana pelbagai badan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang
releven akan diundang. Majlis yang penting ini, akan bersidang sekurang-kurangnya
sekali sebulan dan jika perlu lebih dari itu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
84. Maka, berpasak dan bertunjang dengan Majlis Ekonomi Bumiputera
ini....., kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera, usahlah berbimbang-bimbang
dan bergundah-gundah, kerana,...... selagi ada bulan dan bintang,..........
selagi
hayat dikandung badan,............. survival Melayu dan Bumiputera
tetap menjadi keutamaan dan pelita perjuangan kita sampai bila-bila.
85. Akhir kalam, saya berikrar akan terus beristiqamah
memperkasakan ekonomi Melayu dan Bumiputera. Mudah-mudahan dengan izin dan
ketentuan Allah jua, semuanya akan tercapai.
HIDUP MELAYU........ HIDUP BUMIPUTERA........ HIDUP
MALAYSIA.......
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.
Terima kasih.
5:40 PM
YB PM kita, DS Najib makin ikut jejak bapanya, bekas PM dan TPMnya, BAPA-BAPA KEMERDEKAAN/PEMBANGUNAN TERCINTA Tanah Melayu kita ini, yg. amat BERJASA pd. bangsa, agama dan negara, Allahyarham-Allahyarham YB PM Tun Abdul Razak Hussein (bapa YB PM kita) dan YB TPM Tun Dr. Ismail Abdul Rahman. SYUKUR ALHAMDULILLAH di atas agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera oleh YB PM kita ini - Lihat di http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Intipati_MemperkasaEkonomiBumiputera/Article/index_html, Intipati: Memperkasa Ekonomi Bumiputera, 2013/09/14 - 11:44:28 AM!
Sedangkan pd. 16 Sept. ini, seorg. siTUA tak sedq diri masih sibuk BERANGAN mcm. si DUNGU-dgn-muka-MENGGERUNKAN, nak jadi PM, dibuai PARTI KENCING RAKYAT (yg. sebenarnya diDALANGI Puak SATANIS Kristian Zionis DAPSYAITAN/PKR, dgn sekutu PAP-Barat-Israelnya), yg. terus MENJAHANAMkan hak umat Islam/Melayu di TANAH MELAYU pusaka nenek moyang kita, sebelum diJAJAH British-Zionis laknat lagi!
Makcik Sambal Belacan – PERTAHAN Islam dan umatnya, Raja-Raja Melayu/PM/UMNO/Bahasa Melayu/K‘jaan BN, hak BUMIPUTERA Melayu dan BUMIPUTERA lain; dan hak orang miskin dari semua bangsa yang hormat Islam, dan bangsa dan hak Bumiputera.