Bajet2014 Bukti Komitmen Kerajaan BN Mendukung Agenda Transformasi

Ahli Parlimen Sepitang, Datuk Sapawi Ahmad menyifatkan Bajet 2014 adalah bajet cerminan kristal pimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam membawa dan mengangkat Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi, yang disasarkan menjelang tahun 2020, yang cuma berbaki lebih kurang enam tahun lagi dari sekarang.

Tambahnya, apa yang tersurat dan tersirat di sebalik bajet ini, adalah bukti tekad politik atau `political will' yang tegar, serta manifestasi komitmen kerajaan Barisan Nasional,  dalam mendukung agenda transformasi secara total dan menyeluruh kerana kerajaan Barisan Nasional yang menjaga kepentingan nasional, kerajaan yang memikul mandat rakyat dengan rasa penuh tanggungjawab.

“Inilah kerajaan pilihan rakyat, yang pastinya sentiasa menjaga kebajikan rakyat. Di dalam Bajet 2014 ini, YAB Perdana Menteri menterjemahkan falsafah 'Good Governance' dalam mencipta secara tulus sebuah pentadbiran kerajaan terbaik, untuk dinaungi oleh segenap lapisan rakyat, dari Perlis hingga ke Sabah.

Bagi rentangan waktu tahun 2013 ini, ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Prestasi itu disokong oleh pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 16.2 peratus, dengan anggaran pelaburan RM165 bilion.

Lanjutannya, pada tahun 2014, berdasarkan prospek ekonomi global yang dijangka lebih baik, ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 5 hingga 5.5 peratus,” ujarnya ketika membahaskan Bajet2014 di Dewan Rakyat semalam.

Tambahnya, Penekanan Bajet 2014 terhadap pembangunan pendidikan dan modal insan sewajarnya kita dokong bersama, demi untuk mengecapi kemakmuran sebagai negara maju berpendapatan tinggi, dalam tempoh yang berbaki sedikit ini.

Teryata sektor pendidikan mendapat peruntukan terbesar, iaitu sejumlah RM54.6 bilion atau 21 peratus daripada keseluruhan peruntukan tahun 2014, dengan matlamat memastikan pencapaian objektif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), yang dirancang-atur menyisir waktu yang panjang, melewati 15 tahun lagi selepas Wawasan 2020.

“Ketika pembentangan Bajet tempoh hari, hal yang tunggu-tunggu kami di Sabah adalah projek lebuh raya Pan-Borneo. Alhamdulilah, kerajaan telah meletakkannya sebagai antara keutamaan dengan menyediakan sejumlah RM500 juta menerusi Bajet 2014, bagi pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo ini.

“Sesungguhnya, lebuh raya Pan-Borneo ini menjadi teras kepada keperluan strategik pengangkutan darat di kedua-dua negeri, Sabah dan Sarawak. Sektor lojistik perlu lebih efisien, untuk menggerakkan segala potensi yang dimiliki.


Mengambil contoh di kawasan saya sendiri, Parlimen Sipitang, yang menganjur di pantai barat Sabah hingga ke daerah Papar, kini giat dibangunkan sebagai hab minyak dan gas, membabitkan pelaburan lebih RM4 bilion keseluruhannya, di mana di kedua-dua daerah ini dibangunkan SAMUR  dan SOGT serta Sipitang Industrial Park dan Kimanis Power Plant,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepitang. 
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment