Bila Bertanding, Janganlah Ada Kapal - Noh Omar


Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar menasihatkan calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding dalam Pemilihan UMNO tahun ini, tidak kiralah di peringkat UMNO bahagian mahupun di peringkat UMNO Pusat agar tidak mewujudkan kapal atau kem-kem tertentu demi mengelakkan perpecahan yang besar selepas pemilihan kelak.

"..... kita kena ingat, yang kalah nanti, tidak kalah semua dan yang menang pun takkan menang semua. Kita bertanding dalam keluarga, yang kalah pun UMNO dan yang menang pun UMNO.

Apa yang perlu kita utamakan dalam perjuangan untuk menentukan kuasa pemerintahan kita bukanlah Pemilihan UMNO tetapi dalam pilihanraya yang memerlukan sokongan padu, bukan sahaja dari ahli UMNO tetapi juga dari rakyat keseluruhannya,"ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang.

Ujarnya lagi, jadi kita kena tunjukkan kepada rakyat bahawa UMNO ini parti demokrasi, dan kita bukan waktu bertanding sahaja kita mengamalkan prinsip demokrasi tetapi selepas bertanding pun dasar demokrasi ini kita harus terima.

"Ertinya, yang menang tidak boleh menindas yang kalah dan yang kalah juga kena akur dengan ketua yang ada. Sebab itu saya berpandangan dalam pemilihan ini, kita kalau boleh janganlah ada `kapal'.

Kalau ada kapal, inilah yang boleh menyebabkan perpecahan. Kalau ada dua kapal, kalau betul kapalk kita menang, kapal kita tak boleh menang semua. Contohnya yang menang, kaptennya dari kapal A, tapi timbalan yang menang datangnya dari kapal B, ini bermakna selepas pemilihan, ketua dengan timbalannya tidak akan sehaluan.

Ditambah pula kalau dalam Ahli Jawatankuasa, yang menang terbagi sama banyak, macammana nak ada perpaduan, pasti yang kalah akan jadi pembangkang selepas pemilihan dan yang menang akan menghadapi dan menyelesaikan masalah yang remeh-temeh," ujarnya.

Nasihatnya, janganlah ada kapal, bertandinglah dalam semangat kekeluargaan.

"Siapa pun ketua, siapa timbalan, siapa naib dan siapa juga ahli jawatankuasa, biarlah orang UMNO. Pergilah bertanding atas kapasiti orang UMNO dan bila berkempen, bawalah kawan-kawan bersama-sama.

Biarlah berlaku pertandingan yang sihat, ahli-ahli dapat buat pemilihan dan yang paling penting, orang luar UMNO, orang atas pagar melihat pemimpin UMNO orang yang terhormat, pemimpin UMNO orang yang mementingkan perjuangan parti daripada kepentingan peribadi. UMNO ini kerjanya ialah usaha untuk menyatu-padukan ahli-ahli kita," tambahnya lagi.


Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment