RM320J Peruntukan MARRIS Disalahguna Kerajaan PR Selangor - Noh Omar


UMNO Selangor hari ini mendakwa Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat (PR) menyalahgunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) berjumlah RM320 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya mempunyai bukti bahawa selain dijadikan simpanan, ia turut digunakan untuk membayar gaji pekerja dan perkara lain yang tidak sepatutnya dibelanjakan.

“Patut duit Marris ni buatlah pembangunan, tapi kita difahamkan ada duit Marris ni dia tak buat pembangunan dia bayar gaji, jadi kalau kerajaan negeri nak nafikan, saya akan bawa dengan bukti bahawa duit Marris pun dia guna untuk bayar gaji,” katanya.

Noh berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPNg) Selangor di Pejabat Pembangunan Persekutuan Selangor (ICU) di Glenmarie, di sini hari ini.

Beliau menyelar kerajaan yang diterajui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana tidak menggunakan peruntukan itu untuk faedah rakyat tetapi untuk kepentingan tertentu dan berbangga dapat mengumpulkan simpanan berjumlah hampir RM3 bilion sejak mentadbir Selangor.

Katanya, walaupun wang berkenaan adalah hak negeri mengikut Perlembagaan, tetapi ia tidak diguna seperti yang diperuntukkan.

“Dia patut dapat duit dia belanja untuk pembangunan tapi kita dapat maklum, duit dia dapat dia tak buat pembangunan dia simpan pun ada, untuk bayar gaji pun ada, duit pengurusan, jadi sebab itu kita tengok kadang-kadang projek-projek pembangunan ni federal (kerajaan pusat) lebih banyak buat,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Noh mengumumkan semua 12 ADUN dan 2 Ahli Parlimen Barisan Nasional Selangor hari ini dilantik sebagai Pengerusi Penyelaras kepada beberapa kementerian untuk melancarkan pelaksanaan projek-projek yang telah dirancang.

Katanya, ADUN serta Ahli Parlimen terbabit bertanggungjawab memantau dan menyalurkan terus maklumat kemajuan projek-projek yang dilaksanakan kepada kementerian-kementerian yang telah ditetapkan.

Menurut Noh, kerajaan pusat memperuntukan sejumlah RM5.5 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negeri Selangor dalam tempoh dua tahun mulai tahun ini.

Bagaimanapun, katanya hanya 31 peratus sahaja daripada RM2.8 bilion peruntukan tahun ini sudah dibelanjakan, manakala bakinya tidak dapat digunakan kerana menghadapi masalah seperti lewat siap, terbengkalai dan masalah pengurusan.


“Kalau peringkat kebangsaan, dia punya level 59 peratus, sepatutya duit sehingga hari ini kita sudah belanja 59 peratus, kita di bawah tahap federal (kerajaan pusat),” katanya.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment