Syaiful ikrar kukuh perpaduan Pemuda JB


Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru yang baharu, Syaiful Rizal Abdul Ghani, 39, berikrar mahu memastikan perpaduan sekali gus merapatkan saf dalam kalangan ahli pergerakan berkenaan.

Beliau yang merupakan bekas Setiausaha Pemuda UMNO bahagian menyifatkan kemenangan itu sebagai tanggungjawab yang perlu digalas terutama dalam usaha mempersiap sayap berkenaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Syaiful Rizal yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta juga mahu meneruskan usaha menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti keramat Melayu itu dengan menggerakkan Pemuda bahagian secara aktif bagi tujuan tersebut.

"Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan yang jelas mandat sudah diberikan kepada saya, sekali gus akan memegang amanah tersebut dengan perkara pertama adalah untuk merapatkan saf untuk menjalankan kerjasama lebih erat.

"Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik sepanjang bergelar Ketua Pemuda Bahagian," katanya selepas pengumuman rasmi sayap Pemuda bahagian itu di Dewan Seri Tebrau, di sini malam semalam.

Dalam pemilihan itu, Syaiful Rizal memperoleh sebanyak 160 undi, menewaskan tiga calon lain iaitu Nornekman Osman (88), Musbah Yusof (61) dan Mohd. Tom Ghadafi Anwary (10).

Jawatan Naib Ketua Pemuda bahagian itu pula dimenangi Khairul Mohd. Amin (154) yang menewaskan Wan Saiful Bahri Wan Nawi (105) dan Azly Suhaimi Abdullah (44).

Seramai 309 perwakilan daripada 67 cawangan mengundi untuk memilih pemimpin sayap Pemuda bagi menerajui bahagian itu yang dikosong oleh Khalid Mohamed yang telah melepasi had umur.

Sementara itu, jawatan Ketua Puteri dan Naib Ketua Puteri bahagian itu dimenangi oleh Azura Mohd. Afandi dan Jamaeah Hashim yang menang tanpa bertanding.

Sumber: PemudaJB
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment