Hari Keputeraan Sultan Imbau Kembali Sejarah 118 Tahun Kesultanan Johor Lama


Upacara sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor ke-55 akan diadakan dengan penuh adat istiadat Kesultanan Johor bermula dengan majlis letak kerja di Dataran Tanjung Emas, Muar, 21 Nov ini.

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata pada hari berkenaan bendera istiadat akan dinaikkan di Dataran Tanjung Emas diikuti doa selamat oleh Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Shamsudin dan tujuh das tembakan meriam.

"Istiadat ini satu-satunya warisan Kesultanan Johor yang dihidupkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Kali terakhir ia diadakan pada 1922 semasa pernikahan Tunku Temenggong Ahmad.

"Sebagaimana yang kita ketahui Sultan Johor merupakan seorang yang suka menghidupkan kembali kebudayaan dan istiadat Kesultanan Johor yang telah lama," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Upacara sedemikian mengulang kembali sejarah 118 tahun lepas semasa sambutan hari keputeraan nenda baginda, Sultan Abu Bakar pada 1 Mac 1895 yang sebelum itu dikenali sebagai Hari Kerajaan, juga diadakan di bandar Muar.

Menurutnya, memandangkan tarikh keputeraan baginda 22 Nov jatuh pada hari Jumaat, maka upacara sambutan akan diadakan pada hari Sabtu di Dewan Jubli Intan, Sultan Ibrahim, Muar.

Bagaimanapun, katanya majlis tahlil dan doa kesyukuran akan tetap diadakan pada malam 21 Nov di setiap masjid di negeri ini.

Ia diikuti dengan majlis menghadap Sultan Johor oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Yang Dipertua dan anggota Jumaah Majlis Diraja Johor di Istana Tanjung, Muar bagi mempersembahkan doa kesyukuran.

Acara kemuncak pada 23 Nov yang mana Sultan Johor akan berangkat dari Istana Tanjung berarak ke Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar untuk Majlis Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Menghadap Takzim serta majlis anugerah darjah dan pingat (jika ada).

Upacara itu akan dimulakan dengan bacaan doa kesyukuran yang mana Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan mewakili Sultan Johor.

Abdul Rahim berkata tembakan meriam 21 das akan dilepaskan sebaik nama baginda disebut dalam bacaan doa oleh Mufti Johor.

Beliau berkata keberangkatan Sultan Johor akan disambut dengan perbarisan kehormat Askar Timbalan Setia yang akan diketuai sendiri oleh anakanda baginda Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman.

Ia diikuti dengan Majlis Teriman iaitu istiadat perkumpulan orang kenamaan dan kerabat diraja dan ucap tahniah kepada baginda yang akan diketuai sendiri oleh Tunku Mahkota Johor.


Majlis diikuti dengan ucapan tahniah oleh Menteri Besar yang akan diiringi wakil pemimpin kaum Cina dan India mewakili rakyat Johor sebelum majlis pengurniaan pingat dan majlis jamuan teh.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment