Johor Umum Pemberian 35 Meter Padu Air Percuma Kepada Rakyat

Kerajaan Johor menaikkan pemberian rebat air daripada 20 meter padu kepada 35 meter padu dalam usaha meringankan beban golongan miskin dan miskin tegarnya.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain itu kerajaan negeri juga akan memastikan menjelang 2017 semua penduduk Johor akan menikmati bekalan air bersih.

Ini bukan sahaja tertumpu kepada akses bekalan air tetapi juga merangkumi kualiti serta tahap perkhidmatan setanding dengan negara maju, katanya semasa membentangkan Bajet Johor 2014, di Dewan Undangan Negeri Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga menyasarkan penyediaan 28,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik bagi tempoh 2013 hingga 2018.

“Usaha-usaha ini akan diteraju oleh syarikat berkepentingan kerajaan negeri seperti Johor Corporation Berhad, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor, Yayasan Pelajaran Johor dan Perbadanan Islam yang akan berganding bahu dengan agensi kerajaan persekutuan dan pemaju swasta.

“Tahun depan sebanyak 1,550 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dibina oleh kerajaan persekutuan akan ditawarkan untuk disewa kepada pemohon yang berkelayakan di Sungai Melana, Johor Baharu,” katanya.

Selain itu katanya kerajaan negeri juga akan memperluas pelaksanaan Dasar Perumahan Rakyat Johor di luar kawasan Iskandar Malaysia.

Menurutnya bermula 1 Jan depan, segmen Perumahan Komuniti Johor A berharga RM42,000, Perumahan Komuniti B RM80,000, manakala Perumahan Mampu Milik Johor dari RM140,000 hingga RM150,00.

Kerajaan negeri juga katanya akan menguatkuasakan mekanisme kawalan harga bagi memastikan pemaju tidak mengabaikan pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik di negeri ini.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri turut menaikkan harga minimum hartanah untuk pemilikan asing kepada RM1 juta berbanding RM500,000 sekarang, selaras dengan bajet persekutuan yang dibentangkan baru-baru ini.

Selain itu, kadar kelulusan untuk setiap perolehan bagi kepentingan asing juga dinaikkan daripada RM10,000 bagi setiap hak milik kepada dua peratus daripada harga jualan yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli.

Katanya kedua-dua perkara itu akan dikuatkuasakan 1 Mei depan.

Kerajaan Johor hari ini membentangkan Bajet 2014 dengan unjuran lebihan RM2.02 juta berdasarkan anggaran hasil RM1,064.59 juta berbanding perbelanjaan mengurus RM1,062.57 juta.


Sebanyak empat strategi utama digariskan untuk menjayakan bajet kali ini iaitu mencorakkan ekonomi mampan; meningkatkan kesejahteraan rakyat; memperkasakan dan merakyatkan kerajaan; serta melahirkan modal insane berketrampilan.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment