Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor
(PPUNJ) hari ini melahirkan rasa dukacita dan membantah keras di atas tindakan
seorang ahli jemaah Pengurus sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Nan Ya Telok
Sengat Kota Tinggi yang telah mengarahkan seorang guru Islam supaya membuka
tudung ketika mengajar selain memberi ancaman keselamatan terhadap guru
tersebut.
Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata,
Pemuda UMNO juga merasa amat kesal dengan sikap berdiam diri Guru Besar sekolah
terbabit yang seolah-olah merestui tindakan terkutuk itu.
“Sehubungan dengan itu, kita berpendapat
bahawa hak seorang Islam untuk mengamalkan ajaran Islam telah dicabuli selain
seolah-olah tidak menghormati Agama Islam sebagai agama Rasmi Negara. Tindakan
tersebut juga telah membangkitkan kemarahan rakyat terutamanya penganut agama
Islam di negeri Johor.
Untuk itu, saya mendesak Kementerian
Pelajaran supaya mengambil tindakan tegas terhadap guru besar sekolah tersebut
sesuai dengan peruntukan undang-undang sedi ada bagi memastikan kes seumpama
ini demi tidak berulang lagi.
Saya difahamkan bahawa guru tersebut
telah membuat laporan polis di IPD Kota Tinggi. Dengan ini PPUNJ juga mendesak
pihak polis agar dapat memulakan siasatan segera dan membawa ahli Jemaah
Pengurus Sekolah tersebut ke muka pengadilan berdasarkan peruntukan sedia ada di
dalam Kanun Keseksaan memandangkan terdapat unsur-unsur ancaman ke atas
keselamatan diri guru Islam tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kes ini tidak boleh
diselesaikan sekadar permohonan maaf dari pihak berkenaan kerana ia melibatkan
keselamatan awam. Tindakan segera dan tegas perlu diambil demi memastikan
keharmonian kaum di negara ini terus terjamin.
Selari dengan amanat YAB Presiden dan
Timb Presiden dalam Perhimpuan Agung UMNO yang lalu bahawa UMNO akan terus
menjadi perisai agama Islam maka untuk itu, Pemuda UMNO Johor melihat perkara
ini secara serius dan akan memainkan peranan bagi memastikan kesucian Islam
tidak lagi diperkotak katikkan di Johor ini.
“Atas sebab itu, Pemuda UMNO Johor hari
ini menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada Guru beragama Islam
terbabit yang disediakan oleh Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia
(SukaGuam). Selain itu, Pemuda UMNO Johor juga akan memastikan keselamatan guru
terbabit dan ahli keluarganya sentiasa terjamin.
Pemuda UMNO Johor juga mencabar Pakatan
Pembangkang khususnya PAS yang kononnya memperjuangkan Islam bagi menjawab isu
ini. Tindakan berdiam diri PAS itu membuktikan yang mereka gagal dalam
perjuangannya mempertahan kesucian Islam kerana terlalu tunduk kepada sekutu
mereka iaitu DAP dan PKR. Saya berasa kesal kerana kerakusan PAS untuk berkuasa
membuatkan mereka sanggup menggadaikan perjuangan Islam,” tambahnya yang juga
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara.
Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO
Johor juga menyeru kepada semua pemimpin politik termasuk dari Pakatan
Pembangkang supaya mencontohi kepimpinan Menteri Besar Johor, YAB Dato' Mohamed
Khaled Nordin di atas ketegasannya dalam menjaga kesucian Islam.
Hal ini dapat dilihat dengan penukaran
cuti mingguan ke hari Jumaat, penutupan pusat hiburan yang menjadi sarang
maksiat dan tidak membenarkan sebarang kasino beroperasi di Johor.
“Pemuda UMNO Johor menyeru kepada semua
rakyat Malaysia agar sentiasa hormat menghormati supaya keharmonian kaum yang
kita warisi dari generasi terdahulu di negara ini dapat terus dikekalkan.
Semangat bersatu padu di kalangan
rakyat berbilang kaum dan kepercayaan agama itu telah terbukti merupakan resipi
kepada setiap kejayaan yang telah kita kecapi selama ini. Sama-samalah kita
menolak pihak-pihak yang cuba menanam sifat kebencian antara rakyat. Semoga
Malaysia terus maju di samping rakyatnya sentiasa hidup dalam suasana aman dan
makmur,” ujarnya lagi.
0 Komen