Lim Kit Siang Ibarat ‘Keldai Tua’ Yang Tak Faham Perlembagaan Negara


UMNO Selangor hari ini menyifatkan Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Gelang Patah sebagai ‘keldai tua’ kerana kenyataannya dalam laman web DAP semalam menyerlahkan lagi sikapnya yang jelas menunjukkan beliau tidak memahami Perlembagaan Negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata,  antara kenyataan beliau ialah `salah satu persoalan meresahkan rakyat Malaysia ialah sama ada UMNO telah berubah daripada sebuah parti pembina negara menjadi parti pemusnah negara dengan sokongan Muhyiddin terhadap protes di luar gereja dan Noh Omar mempertahankan protes Umno Selangor terhadap Kristian. Pada hakikatnya, sokongan yang diberikan oleh Muhyiddin dan Noh Omar terhadap tindakan haram dan bertentangan dengan perlembagaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyerbu Persatuan Alkitab Malaysia (BSM) dengan bantuan penuh Polis membangkitkan persoalan serius tentang keikhlasan, keseriusan, dan komitmen para pemimpin UMNO terhadap jaminan asas kebebasan beragama yang diberikan oleh perlembagaan untuk semua rakyat Malaysia.

“Amat malang sekali sebagai seorang yang lama di dalam Parlimen, beliau masih lagi tidak dapat membezakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan kuasa Kerajaan Negeri yang termaktub di dalam Perlembagaan. Justeru saya mengambil pendekatan menerangkan lebih jelas kepada beliau apa sebenarnya yang berlaku di negeri Selangor dan berharap kenyataan ini tidak menjadikan beliau seperti `Keldai Tua’.

Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan menyebut: Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkannya, ULASAN: Jaminan hak oleh Perlembagaan untuk menganuti dan mengamalkan agama masing-masing. Namun, ia tidak bererti mempunyai kebebasan hakiki. Ia tertakluk kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan menyebut: Undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumput, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.ULASAN: Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan meletakkan syarat penting yang memberi kuasa kepada Undang-undang Negeri dan Wilayah-wilayah Persekutuan untuk mengawal atau menyekat pengembangan ajaran agama lain kepada penganut agama Islam dan ini termasuklah sekatan penyebaran kitab atau sedutan ajaran mereka dan penggunaan kalimah-kalimah yang bersumberkan ajaran Islam. Maka kerajaan negeri Selangor pada tahun 1988 telah meluluskan satu enakmen yang dipanggil Enakmen Agama Bukan Islam ( Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam ) 1988, Negeri Selangor,” ujarnya dalam sidang media sebentar tadi.

Tambahnya, Enakmen Agama Bukan Islam ( Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam ) 1988, Negeri Selangor, Negeri Selangor telah menetapkan enakmen untuk mengawal dan menyekat pengembangan iktikad dan kepercayaan-kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang-orang Islam. Seksyen 9 enakmen ini menyenaraikan kesalahan berhubung dengan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasan tertentu yang bersumberkan Islam dan menyenaraikan perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama bukan Islam.

Kerajaan negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa penggunakan kalimah Allah dan telah diwartakan pada 27 Januari 2010. Menurut Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam ( Negeri Selangor) 2003 [En. 1/2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil 3/2008 dan atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan menyediakan fatwa yang dinyatakan dalam Jadual dan disiarkan menurut subseksyen 48(6) Enakmen itu.

“Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan Undang-Undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

DYMM Sultan Selangor telah menitahkan dengan tegas bahawa kalimah ALLAH merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam dan tidak boleh sama sekali digunakan di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam lain sebagaimana yang telah diwartakan.

DYMM Sultan Selangor turut menitahkan MAIS dan JAIS mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sama ada orang bukan Islam atau dikalangan orang Islam sekalipun yang masih memersoal atau memperlekeh fatwa yang telah dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada di Selangor,” tambanya lagi.

Terbaru, DYMM Sultan Selangor mengarahkan supaya penggunaan kalimah Allah dalam`Bible' dan penerbitan Herald versi Bahasa Melayu dihentikan serta merta untuk mengelak kekeliruan dalam kalangan umat Islam di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri pernah mengeluarkan kenyataan pada 9 Januari 2013 bahawa kerajaan Selangor akur dengan titah Sultan Selangor bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam. Beliau berkata penggunaan kalimah Allah itu mengikut kepada tetapan yang telah difatwakan dan diwartakan oleh kerajaan negeri.

“Kesimpulannya adalah Isu Kalimah Allah ini cuba dipolitikkan oleh Lim Kit Siang dan DAP setelah mereka gagal memberikan teguran atau amaran kepada Kerajaan Negeri Selangor berdasarkan kepada Fatwa berkaitan penggunaan kalimah Allah telah diputuskan pada Jun 2008 dan diwartakan pada Februari 2010 ketika Selangor diperintah oleh PR dengan Tan Sri Khaled menjadi Menteri Besar.

MB Selangor iaitu Tan Sri Khaled pada ketika itu menyokong dan akur (menjunjung) dengan titah DYMM Sultan Selangor berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, namun DAP pada ketika itu telah berdiam diri. Adakah kerana kepentingan politik pada ketika itu DAP sanggup membutakan mata, memekakkan telinga.

Selepas hampir 5 tahun DAP kembali menimbulkan isu ini yang mana DAP sebelum ini membisu dan tidak bersuara demi kepentingan politik,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang.

Justeru itu, Lim Kit Siang dan DAP jelas cuba mempolitikkan isu kalimah Allah ini dan cuba menangguk di air yang keruh dengan memutarbelitkan fakta menyalahkan BN khususnya UMNO.


UMNO Selangor memberikan amaran kepada DAP supaya menghentikan politik jahat dengan menjadikan kalimah Allah sebagai modal politik dengan memutarbelitkan fakta undang-undang dan mewujudkan suasana yang tidak selesa antara agama/kaum khususnya di negeri Selangor.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment