Wanita Barisan Nasional (BN) menyifatkan pakatan pembangkang terlalu
bersandiwara dan dalam masa yang bersama mempergunakan rakyat bagi tujuan
kepentingan politik seseorang individu dalam pakatan mereka.
Sambil menyifatkan tindakan
mengosongkan DUN Kajang sebagai memperlekehkan sistem demokrasi, Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil
berkata tindak tanduk pakatan pembangkang itu terutama PKR ternyata tidak
bertanggungjwab kerana mengutamakan agenda politik sempit.
“Negara baru sahaja menghadapi
Pilihanraya Umum di mana pakatan pembangkang telah menang dan mengekalkan
kerajaan negeri Selangor, namun Lee Chin Cheh meletakkan jawatan ADUN
Kajang. Dia bukannya sakit, ataupun
muflis, tidak ada apa-apa, sihat walafiat tetapi tiba-tiba meletakkan jawatan
sebagai ADUN. Kalau macam tu, tak payahlah bertanding dulu.
“Kami Wanita BN melihat tindakan ini sebagai
memperlekehkan sistem demokrasi yang diamalkan di dalam negara kita. Kita
bersedia untuk menghadapi Pilihanraya Kecil di Kajang, tidak ada masalah tetapi
hakikatnya Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncunya mempergunakan sistem demokrasi yang
ada untuk sandiwara politik mereka,” ujarnya selepas majlis ramah mesra di
Rumah Kebajikan Cheshire, Selayang sempena Tahun Baru Cina, semalam.
Tegas beliau percaturan politik pakatan
pembangkang hanya kerana mahu menjayakan agenda peribadi seorang pemimpin di
kawasan tersebut, mereka meletakkan jawatan sesuka hati.
“Ini satu penghinaan kepada rakyat
dan pengundi di kawasan DUN Kajang,” ujarnya yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia.
Terdahulu, keputusan Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan itu berkuat
kuasa semalam menguatkan lagi spekulasi berhubung kedudukan Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Bagaimanapun dalam surat yang
dihantar oleh Chin Cheh kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,
Hannah Yeoh, beliau tidak menyatakan sebab peletakan jawatannya
0 Komen