Pergerakan
Puteri UMNO Malaysia hari ini mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan memijak
Al-Quran yang disebarkan melalui laman sosial Facebook dan juga provokasi
penggantungan poster-poster berbaur provokasi berhubung kalimah Allah di
beberapa kawasan di Pulau Pinang baru-baru ini.
Ketuanya, Mas
Ermieyati Bt Samsudin menyifatkan perbuatan ini terlalu biadap, berniat jahat
dan sengaja diadakan bagi membangkitkan ketegangan agama di Malaysia.
“Puteri amat
dukacita dengan perbuatan ini dan menggesa agar pihak Kementerian Dalam Negeri
mengambil tindakan drastik mengenalpasti siapa dalang disebalik perbuatan yang
tidak bertanggungjawab ini dan seterusnya mengheret mereka ke muka pengadilan.
Ini kerana jika tidak dibendung dengan segera, kita khuatir puak-puak pelampau
ini akan bertambah berani mencabar kedaulatan Islam sebagai agama rasmi di
Malaysia seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan.”
“Saya merasa amat kecewa kerana ada pihak yang
terang-terangan ingin menggugat keharmonian dan menangguk di air keruh di saat
pihak kerajaan bertungkus lumus merapatkan barisan untuk mengeratkan kembali
hubungan 1Malaysia.
Lupakah kita terhadap usaha nenek moyang kita dahulu bersatu
padu dan berjuang berhabis-habisan bagi mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu
untuk memastikan semua bangsa dapat hidup bebas, aman dan damai? Mengapa kita sewenang-wenangnya hendak
menghancurkan kerukunan yang telah 57 tahun kita nikmati ini?”
Beliau turut menyeru kepada rakyat Malaysia, jika masih
sayang dan cintakan Malaysia, hentikanlah perbuatan provokasi ini dan
sama-samalah hormati agama Islam sebagai agama rasmi.
0 Komen