Skuad Pengguna Pemuda Ditubuh Bagi Pantau Kenaikan Harga Barangan


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini menubuhkan Skuad Pengguna Pemuda bagi memantau kenaikan harga barangan oleh segelintir peniaga tidak bertanggungjawab sebagai salah satu usaha untuk menangani beban kos hidup rakyat.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, Skuad Pengguna ini akan membuat pemantauan untuk membantu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal-Ehwal Pengguna dan sebagai permulaan skuad berkenaan akan ditubuhkan di bandar utama seluruh negara terlebih dulu sebelum ia diperluaskan ke pekan kecil.

“Skuad ini akan memantau harga barangan jika ada kenaikan tidak munasabah mereka akan melaporkan kepada KPDNKK bagi membolehkan tindakan diambil terhadap peniaga yang mengambil kesempatan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang disediakan.

“Jika kita hanya mengharapkan KPDNKK bersendirian berdepan masalah ini mana mungkin mereka mampu mengawalnya seluruh negara, sebaliknya tanggungjawab ini harus diambil secara bersama,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan ‘Denyut Nadi Rakyat‘ di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan meluangkan masa kira-kira sejam bagi bertemu peniaga dan pemborong untuk mendengar serta mengetahui situasi semasa kenaikan harga barang. Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Wilayah, Razlan Rafiee, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainurin Zakaria dan beberapa orang EXCO Pergerakan UMNO Malaysia.

Semalam, Jawatankuasa Khas Kabinet yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menangani beban kos hidup rakyat.

Sehubungan dengan itu, kerajaan juga turut mengarahkan Menteri Kabinet supaya turut turun padang bagi meninjau kenaikan harga barangan dan bertemu peniaga untuk mengenal pasti punca kenaikan harga.

"Arahan supaya Menteri turun padang bukan bermakna KPDNKK gagal melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, sebaliknya masalah ini harus dihadapi secara bersama jika mahu menanganinya," ulasnya terhadap arahan kerajaan tersebut.  


Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment