UMNO Johor Yakin Usaha DAP Pikat Orang Melayu Berdepan Kegagalan


UMNO Johor yakin usaha DAP untuk menarik sokongan orang Melayu Johor terhadap perjuangan politiknya akan berdepan kesukaran dan kegagalan.

Setiausahanya Mohd Jais Sarday berkata bukan sesuatu yang mudah untuk DAP mempengaruhi masyarakat Melayu Johor kerana perjuangan politiknya bertentangan dengan perjuangan orang Melayu dan Islam.

“Saya percaya orang Melayu di Johor tidak semudah itu (dipengaruhi DAP)…parti yang bertentangan dengan perjuangan kita sebagai orang Melayu dan Islam,” kata Mohd Jais yang juga Exco kanan kerajaan negeri Johor ketika ditemu ramah Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, UMNO Johor sedar tentang usaha bersungguh-sungguh yang dilaksanakan oleh DAP untuk memikat hati orang Melayu di Johor, bagi merealisasikan hasrat untuk menawan negeri ini dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Mohd Jais berkata demikian bagi mengulas kenyataan pemimpin DAP pusat dan negeri yang mahu menggandakan usaha untuk menarik sokongan masyarakat Melayu di Johor sebagai sebahagian daripada strategi untuk menawan negeri ini pada PRU14.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong di dalam kenyataannya baru baru ini, juga berkata pakatan pembangkang menyasarkan lapan lagi kerusi Parlimen dan lapan lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan yakin mempunyai peluang baik untuk menang.

Pada PRU13, pakatan pembangkang memenangi lima kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN di Johor daripada keseluruhan 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN.

Mohd Jais yang juga Adun Mahkota mendakwa DAP juga berusaha memecah-belah perpaduan mereka dengan harapan sokongan terhadap UMNO akan terhakis.

Mengenai pemilihan Liew sebagai Pengerusi DAP Johor yang baharu, beliau berpendapat ia merupakan langkah untuk mengukuhkan pengaruh Penasihat DAP Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng, setiausaha agung parti itu di Johor.

Menurut Mohd Jais, pelantikan Liew merupakan strategi DAP untuk menarik lebih banyak sokongan daripada pengundi muda memandangkan Pengerusi DAP Johor itu baru berusia 36 tahun.


DUN Mahkota, merupakan satu daripada dua kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Kluang yang diwakili Liew. Satu lagi kerusi iaitu DUN Mengkibol turut diwakili DAP, Tan Hong Pin.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment