Isu Projek Langat 2 Sepatutnya Lama Selesai Jika Utamakan Kepentingan Rakyat


Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) menyambut baik langkah kerajaan negeri Selangor yang akur untuk membenarkan projek pelaksanaan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang telah tertangguh selama hampir enam tahun yang lalu.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sepatutnya isu ini sudah lama selesai kalau ianya tidak dipolitikkan.

“Ternyata keputusan ini walaupun terlewat namun ia mengutamakan agenda kepentingan rakyat Selangor berbanding mengutamakan agenda politik kepartisan sendiri.

Penyelesaian berhubung isu air di Selangor sejak 2008, bukan sahaja telah menjejaskan industri perkhidmatan bekalan air di negeri berkenaan, malah memberi kesan kepada negara berikutan projek-projek pembangunan baharu tidak dapat dimulakan disebabkan ketiadaan bekalan air.

Bagi mereka yang pernah melalui kegawatan krisis air 1998 tentu tahu betapa sukarnya kehidupan bila berhadapan dengan krisis air, saban hari terpaksa menanti lori tangki air untuk ditadah manakala aktiviti ekonomi terbantut dan kilang-kilang pula terpaksa mengurangkan waktu operasinya,” ujarnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Justeru itu, ketepikan seketika politik kepartian, apa sahaja jawatan yang dipegang tatkala ini hakikat nyatanya masing-masing kita memerlukan air bersih untuk meneruskan kehidupan dan menjalani aktiviti seharian.

“Segerakan pembinaan Langat 2 untuk kebaikan bersama bagi menghadapi waktu-waktu mendatang. Jangan nanti bila ditimpa bencana barulah kita mahu menyesal kerana tika itu penyesalan tiada gunanya lagi.

Projek Langat 2 yang tertangguh sejak 2008 akan diteruskan selepas Selangor bersetuju mengeluarkan kebenaran merancang (Development Order) berkuat kuasa hari ini,” tambahnya.


Tambahnya, persetujuan tersebut sejajar dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri berhubung penstrukturan semula industri bekalan air Selangor di Bangunan Perdana Putra, semalam.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment