Meninjau Semula Isu Air Selangor : Krisis Air Ini Bukan Salah Takdir


Oleh Ab Jalil Backer

Sejak semalam para penyokong Pakatan Rakyat cuba memberi pelbagai alasan untuk menutup masalah mereka di Selangor iaitu krisis air yang sangat serius. Krisis ini telah dijangka akan berlaku pada 2014 sejak 2006 lagi dan kerajaan Barisan Nasional telah mengadakan pelan penyelesaian menyeluruh mengelakkan krisis ini.

Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri pada 2008 mereka mengetahui bahawa industri air di Lembah Klang dalam proses penstrukturan semula.

Dua agenda penting dalam penyelesaian ini ialah bekalan air mentah dari Pahang dan penstrukturan semula industri air di Lembah Klang di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Tan Sri Khalid tidak mahu melaksanakan segera kerana beliau mahu menggunakan isu ini untuk meraih keuntungan politik.

Kerajaan Selangor memutuskan tidak memberi Kebenaran Merancang Dan Membina untuk Loji Langat 2. Loji Langat 2 merupakan bahagian penting dalam memastikan kemapanan industri air di Selangor. Air mentah yang disalurkan dari Pahang akan di proses di loji ini. Tanpa loji ini, bekalan air mentah dari Pahang tidak berguna. Malangnya, Khalid tidak peduli semua itu.

Beliau menjalankan permainan Pakatan untuk melengahkan projek ini bagi meningkatkan kos pengurusan air dan memburukkan Barisan Nasional.

Khalid secara terbuka beberapa kali menolak kajian yang menyatakan bahawa Lembah Klang akan berhadapan krisis air pada 2014. Beliau mengatakan Loji ini bukan keperluan segera. Paling awal krisis air akan berlaku ialah pada 2019.

Jadi apa yang Pakatan dakwa sebagai bencana alam kemarau yang menyebabkan krisis air ini hanyalah satu tindakan menyalahkan takdir bagi menyembunyikan kesalahan mereka. Jangan salahkan Allah atas sikap dan perangai buruk kepimpinan Pakatan.

Agenda kedua ialah penstrukturan semula industri Air Selangor melalui penggabungan syarikat-syarikat yang terbabit dalam industri ini. Khalid melenga-lengahkan kerana mahu menggunakan perjanjian air yang lama antara Syabas dan kerajaan negeri dan persekutuan bagi mendapat keuntungan politik.

Khalid tahu bahawa melengahkan isu penggabungan ini akan membolehkan Syabas melaksanakan perjanjian kenaikan tarif air. Ini akan membolehkan beliau menyalahkan Syabas dan BN sebagai penindas rakyat yang mahu menaikkan tarif air, manakala beliau akan menjadi hero sebagai orang yang menghalang kenaikan tarif.

Namun kejahatan dan hati busuk Pakatan dan Khalid Ibrahim akhirnya dibalas Allah. Krisis air yang dijangka menjadi kenyataan, Khalid terpaksa mencatu air. Akibatnya, kerajaan Persekutuan terpaksa membelanja berjuta ringgit membuat pembenihan awan.

Menyedari kemarahan rakyat akan bertambah besar menjelang pertengahan bulan ini, Khalid bersetuju dengan pembinaan loji langat 2 dengan syarat kerajaan Persekutuan menyuntik RM 2 bilion dalam menampung kos penstrukturan semula “pemain industri air Selangor”.

Kerajaan Persekutuan sedar masalah krisis air ini perlu diselesaikan kerana ia boleh menjejas ekonomi negara. Banyak industri akan terhenti jika krisis bekalan air berterusan dari semasa ke semasa tanpa penyelesaian yang tuntas.

Namun apa yang kita saksikan sejak semalam ini sikap busuk hati dan bodoh sombong penyokong Pakatan Rakyat masih berterusan menegakkan benang basah dan berbohong kepada umum bahawa ini kejayaan Pakatan dan Khalid menyingkirkan Syabas kroni Barisan Nasional.


Mereka menipu fakta bahawa penstrukturan ini dirangka dan dirancang oleh Barisan Nasional sendiri pada 2007. Mereka juga langsung tidak berasa bersalah atas sikap tidak bertanggungjawab Pakatan dan Khalid melengahkan pembinaan Loji Langat 2 sehingga menyebabkan krisis air sekarang dan kerajaan Persekutuan mengalami kerugian jutaan ringgit.

Sumber : UMNO-Online




Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment