Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan meletakkan pegawainya di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengelakkan bomoh melakukan ritual untuk
mengesan kehilangan pesawat penerbangan MH370 sejak Sabtu lepas.
Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIS Hardi Mohd Sadali
berkata pihaknya akan bekerjasama dengan anggota keselamatan di KLIA bagi
memantau kegiatan itu daripada terus
berulang.
Pemantauan itu akan dilakukan secara berterusan di lapangan
terbang ini, katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan
pemantauan di Anjung Tinjau di sini malam ini.
Sepasukan 15 pegawai dan anggota daripada JAIS melakukan
pemantauan di Anjung Tinjau selepas mendapat maklumat seorang bomoh, Ibrahim
Mat Zin, 80, akan melakukan ritual kali kedua, malam ini.
Pasukan penguat kuasa JAIS yang tiba kira-kira 9.20 malam, dilihat
menunggu kehadiran Ibrahim di Anjung
Tinjau sebelum dilihat meninggalkan tempat itu pada 10.15 malam.
Tengah hari tadi, Ibrahim yang mendakwa "Raja Bomoh",
melakukan ritual ala-ala 'tikar terbang' bagi mengesan pesawat penerbangan
MH370 yang disertai beberapa lelaki yang memegang dua biji buah kelapa yang
tidak diketahui fungsinya.
Pada Isnin lepas, Ibrahim turut muncul di KLIA melakukan ritual
menggunakan bubu mata pancing.
Hardi berkata jika Ibrahim terus melakukan ritual itu di KLIA,
pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadapnya di bawah
Enakmen Jenayah Syariah Selangor.
"Kita akan nasihat beliau supaya tidak melakukan ritual
seperti yang dilakukan sebelum ini. Jika
dia (Ibrahim) masih berdegil, kita akan ambil tindakan," katanya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini turut menyelar
usaha beberapa pihak mendapatkan khidmat bomoh dalam usaha mencari pesawat
penerbangan MH370, yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke
Beijing Sabtu lepas, kerana langkah itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Penerbangan MH370 terputus hubungan dengan Menara Kawalan Trafik Udara
Subang kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA.
Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu,
sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
0 Komen