Operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines yang
dilapor hilang masih diteruskan dengan setakat ini masih belum ada sebarang
tanda penemuan.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
berkata, kerajaan Malaysia juga telah menghubungi pihak berkuasa Vietnam bagi
mengesahkan laporan kononnya pesawat itu terhempas ke dalam laut iaitu 246
kilometer dari laut pantai pulau Thoa Chu di Vietnam.
Ini berikutan beberapa media asing memetik kononnya pesawat MAS
yang membawa 239 penumpang dan 12 krew dilaporkan terhempas ke dalam laut iaitu
246 kilometer dari luar pantai pulau Tho Chu di Vietnam dengan menamakan
Laksamana Vietnam Ngo Van Phat mengarahkan pasukannya bergegas ke lokasi
berkenaan.
“Operasi mengesan dan mencari masih berterusan dan masih belum ada
sebarang penemuan atau kesan. Wisma Putra dan Jabatan Penerbangan Awam juga
belum menerima sebarang laporan yang mengatakan pesawat tersebut terhempas,
semuanya spekulasi.
“Kita telah menggerakkan agensi yang berkaitan untuk pergi ke
kawasan terakhir dilaporkan hilang (garisan bujur 065515 utara dan 1033443
timur) di perairan Laut China Selatan. Kali terakhir pusat kawasan mendapat
isyarat ialah pada 1.30 pagi,” katanya
dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata kerajaan juga telah
menggerakkan tentera udara dan tentera laut termasuk Majlis Keselamatan Negara
dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk membantu operasi.
Hishammuddin berkata Malaysia juga sedang bekerjasama dengan
negara China, Filipina dan Vietnam dalam operasi mengesan dan mencari yang
dipergiatkan ketika ini dan negara terbabit juga belum mempunyai sebarang
maklumat atau kesan.
“Kita akan lakukan yang terbaik untuk bekerjasama dengan
negara-negara terbabit selain menggerakkan agensi kita yang berkaitan. Apa
sahaja usaha yang kita boleh lakukan, kita akan lakukan dengan terbaik,”
katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai
spekulasi atau membuat spekulasi berhubung insiden itu.
Sebuah pusat koordinasi utama sedang beroperasi di Hotel Sama-Sama
di sini
untuk melaporkan perkembangan terkini setiap dua jam.
"MAS juga telah menghubungi 80 peratus keluarga penumpang
pesawat termasuk kru untuk memberikan laporan terkini sebagai tanggungjawab
menjaga kebajikan dan keperluan anggota keluarga terbabit," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mas, Ahmad Jauhari
Yahya
berkata insiden itu tidak menjejaskan penerbangan MAS yang lain
dan semua penerbangan beroperasi seperti biasa.
0 Komen