Sekretariat Bebas Muflis dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka
telah berjaya menganjurkan Siri Jelajah Taklimat & Pendaftaran mereka pada
sabtu 1 Mac 2014 lepas di Dewan Warisan, Tingkat 8 Bangunan Graha UMNO. Mereka
komited untuk terus turun padang bagi mendengar rintihan mangsa muflis, memberi
khidmat nasihat dan menggalakkan lebih ramai orang untuk tampil mendaftarkan
diri ke Jabatan Insolvensi. Destinasi mereka seterusnya adalah di Perak pada 15
Mac 2014 yang akan datang.
Pengerusinya, Dato' Sohaimi Shahadan berkata, program sebegini
akan diperluaskan dan jaringan kerjasama akan terus ditambah bagi menjadikan
program sebegini mencapai objektif dan memberi HARAPAN BARU kepada mereka yang
dibelenggu masalah sebegini. Ini adalah satu usaha sukarelawan yang berjuang
membantu rakyat Malaysia.
Program ini membolehkan orang ramai yang menghadapi masalah
kebankrapan ini tampil dan mendaftarkan diri dengan pihak Sekretariat Bebas
Muflis seterusnya diajukan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia agar kes mereka
dapat di dengar daripada terus menyembunyikan diri dan menghadapi kesulitan
menjalani kehidupan harian.
Setiausaha Sekretariat Bebas Muflis, Saudara Mohd. Mustafa Hamzah
pula dipetik berkata “Kami akan turun ke akar umbi untuk berjumpa dengan
seramai mungkin mereka yang muflis sebab kita sedar ramai mangsa-mangsa yang
muflis ini, ada di antaranya disebabkan oleh masalah teknikal.”
Ada juga di antara mereka yang telah diistiharkan muflis ini tidak
tahu apa peranan dan tanggungjawab mereka selepas mereka diistiharkan muflis.
Tanggungjawab mereka terhadap Jabatan
Insolvensi dan apa yang boleh mereka lakukan, sebab itu Sekretariat Bebas
Muflis ditubuhkan yang bertujuan untuk menjadi jejambat penghubung antara
rakyat Malaysia yang muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia di samping
memberi penerangan dan konsultasi yang berguna bagaimana dan apakah cara yang dapat
mereka lakukan dalam usaha untuk membebaskan mereka dari belenggu kebankrapan.
Pihak sekretariat mengalu-alukan mereka yang diisytiharkan muflis
akibat masalah teknikal, teraniaya atau menjadi penjamin sosial mendaftarkan
diri dengan sekretariat supaya kami boleh membela dan mencari jalan
penyelesaian untuk menggugurkan status muflis mereka.
Pendaftaran masih boleh dibuat dengan mengisi borang secara atas
talian bagi memudahkan pengumpulan maklumat dilakukan menerusi laman web
sekretariat, http://www.bebasmuflis.com.
0 Komen