PRK Rompin: Kempen Secara Berhemah, Pastikan Kerusi Rompin Kekal Bersama BN


Masyarakat di Rompin harus mengambil kesempatan sekali lagi untuk memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memilih calon yang ditampilkan BN untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin 5 Mei ini.

Ahli Majis Tertinggi UMNO, Dato’ Sohaimi Shahadan berkata, sokongan berterusan ini penting kerana legasi kepimpinan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis di kawasan Rompin ini sangat banyak, besar dan sungguh baik sepanjang perkhidmatannya sebagai wakil rakyat di kawasan ini.

“Saya percaya Datuk Hasan Ariffin mampu menggalas cabaran besar untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan dalam masa yang sama, sokongan dan kerja keras yang akan di berikan oleh setiap jentera pilihanraya Parlimen Rompin, mampu memberikan serta mengekalkan kemenangan yang di peroleh Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum yang ke 13 lepas,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Penamaan Calon BN Parlimen Rompin di sini, hari ini. 

Dalam masa yang sama, beliau akui bahawa PRK Rompin ini adalah masa yang terbaik untuk mengadakan kempen secara sihat, harmoni dan berhemah, tanpa perlu membuat serangan peribadi antara satu sama lain dan memburuk-burukkan dalam bentuk fitnah. 

“Jadi kita berkempen secara sihat. Mudah-mudahan pilihan raya kecil ini menjadi kayu ukur kepada suasana kempen pilihan raya yang lebih aman, tidak emosional dan membangkitkan sentimen kempen panas atau getir yang boleh menimbulkan suasana tidak aman kepada masyarakat sekitar,” tambahnya lagi.

Pandangan ini turut dipersetujui Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar yang melihat suasana aman di sepanjang Hari Penamaan Calon yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah pagi tadi membuktikan pendekatan kempen berhemah ini boleh dijayakan sehingga ke hari pengundian, 5 Mei ini. 

“Ketika kempen ini, elakkan kempen caci-mencaci, fitnah menfitnah dan kita serahkan kebijaksanaan pengundi untuk memilih calon wakil rakyat mereka.

Bagi kita, tidak ada calon yang lebih layak untuk diundi iaitu calon yang ditampilkan BN, Datuk Hasan Ariffin yang merupakan seorang tokoh yang berpengalaman dan memahami jiwa anak muda khususnya di kawasan Rompin ini selain boleh membawa suara rakyat di ke peringkat yang lebih tinggi kelak,” ujarnya lagi.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih pada 4 April lepas.

Allahyarham menjadi Anggota Parlimen Rompin sejak enam penggal lepas bermula tahun 1990 dan pada pilihan raya umum tahun 2013, beliau menewaskan bekas Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRK Parlimen Rompin pada 5 Mei depan manakala hari penamaan calon pada 22 April ini.


Parlimen Rompin mempunyai 53,924 pemilih berdaftar dengan 1,300 pengundi Cina, 621 pengundi India dan lebih 7,000 pengundi Orang Asli.

Tags: , , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment