Perpaduan, Kestabilan Politik Dan Kemantapan Ekonomi Penentu Kejayaan RMK11 – Muhyiddin


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan bahawa perpaduan rakyat, kestabilan politik dan kemantapan ekonomi merupakan asas utama dalam menjayakan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
Beliau berkata kerajaan telah mengambil kira faktor-faktor berkenaan memandangkan keadaannya boleh berubah sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaan pelan pembangunan itu.
“Dokumen RMK11 menjadi sangat penting…Ia bukan dokumen kerajaan semata-mata, ini hak rakyat dan memerlukan penglibatan masyarakat serta rakyat, bukan sahaja di peringkat kepimpinan.
“Kerjasama daripada segenap lapisan rakyat dalam mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan sebarang isu seperti perkauman menjadi asas penting kepada kejayaan RMK11,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan RMK11 di Dewan Rakyat di sini hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain itu, katanya, bagi memastikan tidak tersasar daripada matlamat asal RMK11, intervensi sepanjang tempoh lima tahun akan dilakukan bagi menilai semula segala rancangan, sama ada pelaksanaannya akan menghadapi kekangan, dari segi dasar, sumber mahupun kewangan.
“Biasanya akan ada kajian separuh penggal dalam tempoh dua tahun…walaupun akan ada turun naiknya, tapi matlamat akhir menjelang 2020 pendapatan per kapita US$15,000 akan tercapai dan mengikut ramalan pakar ekonomi ia akan tercapai,” kata Muhyiddin.
Sementara itu, mengenai enam strategi tumpuan RMK11 iaitu inklusiviti, kesejahteraan rakyat, modal insan, pertumbuhan hijau, infrastruktur serta inovasi dan produktiviti, beliau berkata dengan penekanan terhadap dasar-dasar itu, ia diharap dapat melonjakkan Malaysia ke tahap yang lebih maju dan berjaya.
“Bagi pembangunan modal insan, aspek pendidikan dan latihan telah disebut sebagai satu daripada fokus RMK11, jadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan adalah lebih besar.
“Perlu meneliti beberapa peruntukan dalam tempoh lima tahun ini di samping melatih rakyat untuk lebih berkemahiran tinggi kerana dengan kemahiran baharu mereka dapat meningkatkan pendapatan,” katanya.
Beliau berkata pendapatan yang lebih tinggi adalah penting bagi mengurangkan golongan 40 peratus rendah yang pendapatan dalam kelompok itu pada masa kini kira-kira RM2,500 sebulan dan ia perlu dinaikkan kepada RM5,000 sebulan menjelang tahun 2020.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment