Bolasepak Johor Tetap Maju Walaupun Tanpa TMJ Sebagai Presiden


Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan bola sepak Johor tetap maju walaupun baginda bukan lagi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Tunku Mahkota Johor itu bertitah baginda juga tidak perlu menjadi Presiden untuk memajukan bola sepak negeri.

"Untuk makluman anda semua (penyokong), baru-baru ini saya telah meletakkan jawatan sebagai Presiden PBNJ, tetapi ia tidak bermakna yang bola sepak Johor tidak akan maju.

"Saya tidak payah menjadi Penaung Diraja untuk memajukan bola sepak Johor kerana saya mempunyai anda semua (penyokong) untuk memajukan bola sepak Johor.

"Ikrar saya di hadapan bangsa Johor yang ada di stadium pada malam ini, saya sentiasa akan berada di sini tidak kisah dalam bola sepak ataupun urusan negeri," titah baginda.

Tunku Ismail yang menyaksikan perlawanan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Selangor pada aksi tunggal saingan Liga Super bertitah demikian sejurus tamat perlawanan tersebut, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, di sini malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, skuad bimbingan Mario Gomez itu menewaskan Selangor 3-1.
Skuad Harimau Selatan dan pasukan Gergasi Merah sepatutnya bertemu pada 8 Julai lepas, namun, perlawanan ditunda malam tadi berikutan terlibat dengan aksi persahabatan menentang kelab Liga Jerman, Borussia Dortmund, 9 Julai lepas.

Bertitah depan lebih 11,000 penonton, Tunku Ismail turut mengucapkan tahniah kepada JDT atas kemenangan tersebut.

Baginda turut mengucapkan terima kasih dan selamat datang kepada kelab penyokong Ultra Selangor yang memberi sokongan kepada pemain Gergasi Merah.

Tunku Ismail, dua hari lepas mengumumkan peletakan jawatan selaku Presiden PBNJ bagaimanapun beliau tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu.
Tags: , , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment