Johor Teruskan Catuan Air


JOHOR BAHARU– Catuan air bagi sejumlah 115,000 pemilik akaun di kawasan Pasir Gudang, Masai dan Johor Baharu akan dilanjutkan sehingga paras air di Empangan Sungai Layang di sini naik kepada bacaan 23.5 meter.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, paras air  empangan itu ketika ini mencatatkan bacaan 19.1 meter berbanding paras normal 26.6 meter.
“Keadaan cuaca kering berlaku sejak dua tahun lalu dan bagi memastikan paras normal air di empangan Sungai Layang dapat dikekalkan, beberapa langkah akan dibuat termasuk mengepam air mentah dari Sungai Johor dan melakukan pembenihan
awan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan paras air di empangan itu hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Ir Hasni Mohammad.
Menurut Mohamed Khaled, pembenihan awan itu secara dasarnya telah dipersetujui kerajaan Singapura kerana bakal melibatkan ruang udara republik itu.
“Namun untuk prosedur, kita kena hantar permohonan ke Kuala Lumpur (kerajaan pusat). Kuala Lumpur akan berurusan dengan Singapura selepas itu kerana ini melibatkan keputusan antara kedua-dua negara.
“Kita berharap Kuala Lumpur menyegerakan perkara ini,” katanya.
Catuan air yang mula dilaksanakan sejak 16 Ogos itu merupakan langkah masa panjang Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJ) untuk memanjangkan tempoh penyimpanan bekalan air di Empangan Sungai Layang selain mengagihkan sebaiknya bekalan air kepada pengguna terlibat.
Sementara itu, Hasni berkata, sebarang pembangunan di kawasan empangan tidak akan diluluskan pada masa depan bagi memastikan ia tidak mengganggu-gugat zon penampan di kawasan empangan.
“Kita akan memantau keadaan ini termasuk yang melibatkan aktiviti pertanian. Setakat ini, untuk menjaga zon itu, kerajaan telah membatalkan beberapa hak milik (pembangunan) yang dikurniakan kepada pihak berkaitan,” katanya.
Tags: , , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment