Pas Rancang Tanding Di Lebih 10 Kerusi DUN Pada PRN Sarawak


KUCHING, 9 Ogos-- PAS merancang untuk bertanding di lebih 10 kawasan pada pilihan raya negeri Sarawak (PRN) akan datang, dengan enam daripadanya sudah dikenal pasti manakala selebihnya masih dalam perbincangan antara parti itu dengan sekutunya PKR Sarawak. 

Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata enam kawasan itu terdiri daripada Tanjung Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro dan Belawei.

Beliau berkata jumlah kerusi yang ditandingi PAS nanti lebih besar berbanding PRN sebelum ini kerana parti itu yakin dengan sokongan ramai terhadap mereka, walaupun sedar PAS bakal berhadapan cabaran besar ekoran perpecahan dalam Pakatan Rakyat dan kemunculan Gabungan Harapan Baru (GHB). 

Bercakap pada persidangan media selepas melancarkan jentera pilihan raya Negeri Sarawak Dewan Pemuda PAS di sini lewat malam tadi, Nik Abduh berkata berdasarkan kajian yang dijalankan parti itu di Sarawak, pembangkang dilihat bakal menghadapi cabaran besar pada pilihan raya negeri Sarawak kelak.

Ini lebih-lebih dari segi populariti Ketua Menteri Sarawak yang baharu Tan Sri Adenan Satem yang cukup besar, namun menurutnya PAS adalah sebuah parti yang sukakan cabaran.

Pada PRN lepas, PAS bertanding di lima kawasan DUN, namun parti itu tidak pernah memenangi sebarang kerusi dalam DUN Sarawak walaupun sudah bertapak di Sarawak sejak kira-kira 20 tahun.

GHB yang diterajui bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebelum ini dilaporkan akan ditubuhkan pertengahan September dengan hasrat menyatukan semula parti politik pembangkang yang retak susulan keputusan PAS dan DAP untuk menamatkan kerjasama politik antara mereka.

Bulan lepas seorang jurucakap GHB Sarawak berkata pergerakan itu sudah mengenal pasti calon mereka yang akan bertanding pada PRN akan datang.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment