Pemuda Selangor Tuntut Azmin Jelaskan Mana Hilang Agihan Perbelanjaan RM7.65 Bilion


KUALA LUMPUR– Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali perlu memperjelaskan secara terperinci baki kos pengambilalihan proses penstrukturan semula industri air di negeri itu sebanyak RM7.65 bilion seperti mana dakwaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Datuk Zakaria berkata penjelasan dan penerangan itu cukup penting agar rakyat dapat tahu agihan perbelanjaan terbabit memandangkan ianya jumlah yang cukup besar.
Menurut beliau jika sebelum ini pimpinan pembangkang sering menuntut penjelasan mengenai apa jua perbelanjaan yang melibatkan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN), amat wajar perkara yang sama dilaksanakan di negeri yang mereka menjadi pentadbir.
“Lagi pun mereka sebelum ini sering canang ‘good governance’ integriti, akauntabiliti dan macam-macam lagi. Tidak apa yang mahu diselindungkan dan atas prinsip itulah Pemuda Selangor meminta kerajaan negeri tampil menjelaskan secara telus.
“Tidak ada gunanya bercakap soal ketelusan dan macam-macam lagi jika masih tidak berupaya untuk melaksanakan di negeri yang dikuasai sendiri. Tampillah ke depan. Lagi pun yang mempersoalkan perkara ini bukan calang-calang orang.
“Tan Sri Khalid tentunya ada asas untuk menuntut penjelasan berkenaan. Takkan beliau sebagai bekas Menteri Besar pukul borong. Jadi jalan terbaik adalah kerajaan negeri tampil ke depan cerita satu persatu ke mana baki baki kos pengambilalihan  proses penstrukturan semula industri air di negeri itu dibelanjakan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Semalam Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Pelabuhan Klang) mendesak Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menjelaskan dengan terperinci kos pengambilalihan berhubung proses penstrukturan semula industri air di negeri itu yang dibimbangi memberi kesan kenaikan tarif air pada masa akan datang.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Pelabuhan Klang) berkata penjelasan itu sangat penting kerana dibimbangi akan berlaku peningkatan kos bagi pengambilalihan syarikat konsesi yang akan memberi kesan terhadap harga air seterusnya membebankan rakyat Selangor.
“Penjelasan yang dibuat Menteri Besar (Mohamed Azmin Ali) semalam hanyalah kos sebanyak RM2 bilion tetapi dia tidak tegaskan tentang baki kos pengambilalihan sebanyak RM7.65 bilion itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi DUN.
Zainuri yang juga Ketua Pemuda UMNO Klang seterusnya menambah pergerakan itu bukanlah mahu menjadikan isu berkenaan sebagai isu politik tetapi ianya adalah soal ketelusan dan akauntabiliti kerajaan negeri.
Tegas beliau bukanlah niatnya untuk tumpang semangkuk apa yang berlaku tetapi hanya sekadar meminta penjelasan sepertimana yang diminta oleh bekas Menteri Besar sebelum ini kerana dikhuatiri melibatkan kesan kepada harga air.
“Ini bukan soal politik…ini adalah melibatkan soal rakyat kerana kita pun turut khuatir akan ada perubahan dari segi harga air pada masa akan datang. Itu yang kita tidak mahu dan sudah pasti asas yang tidak boleh ditolak ke tepi ialah wang yang dibelanjakan untuk tujuan tersebut adalah duit rakyat. Sudah tentu penjelasan mengenainya amat perlu,” jelas beliau

Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment