Pertukaran Dua Pegawai SPRM Ke JPM Tiada Kaitan Dengan PDRM - Zahid


KUCHING, 8 Ogos  -- Pertukaran dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri tiada kena mengena dengan Polis Diraja Malaysia, sebaliknya ia merupakan urusan pentadbiran oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setiap pegawai kerajaan tertakluk kepada arahan dan pekeliling dalam Perintah Am yang ditentukan JPA dan ditandatangani semua pegawai kerajaan yang menerima pelantikan sebagai aku janji.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebelum berlepas pulang ke ibu negara selepas menamatkan lawatan kerja dua hari ke Sarawak.

Media sebelum ini melaporkan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Bahagian Strategik Komunikasi, Datuk Rohaizad Yaacob ditukarkan serta-merta ke Jabatan Perdana Menteri dan mereka diarah melaporkan diri Isnin ini.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berkata beliau memilih Sarawak negeri pertama untuk dilawati selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam rombakan Kabinet pada 28 Julai lepas, sesuai dengan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu negeri Sarawak.

Langkah itu, katanya, khususnya dalam menterjemahkan semua komitmen perdana menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang komited untuk memberi bantuan kepada negeri Sarawak biarpun projek yang diluluskan tiada dalam struktur induk dasar untuk negeri ini. 

"Namun di atas keprihatinan kerajaan persekutuan untuk melihat infrastuktur dan elemen pembangunan dalam semua aspek diterjemahkan pelaksanaannya, saya bersama perdana menteri komited untuk melaksanakannya sebagaimana yang diminta ketua menteri Sarawak (Tan Sri Adenan Satem)," kata Ahmad Zahid.

Kata timbalan perdana menteri, beliau akan memperbanyakkan lawatan ke Sarawak, khasnya di kawasan sasaran yang dikenal pasti, bagi menentukan pelaksanaan projek yang telah dijanjikan itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Sarawak, khususnya Barisan Nasional Sarawak, yang berjaya mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi dalam rayuan berkenaan persempadanan semula kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak di Mahkamah Rayuan semalam.

"Ini menunjukkan keikhlasan menambah bilangan kerusi DUN bukan sahaja mengikuti lunas perundangan yang ada, malah oleh kerana Sarawak negeri terbesar di Malaysia, maka adalah munasabah untuk persempadanan semula kawasan pilihan raya ini bagi menambah jumlah kerusi sedia ada," katanya.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment