UMNO Harus Berubah Atau Hadapi Risiko Hilang Sokongan Pengundi - Khairy


KUALA LUMPUR, 9 Ogos -- UMNO harus menilai dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam sosiopolitik semasa kerana jika tidak akan kehilangan relevan di mata pengundi, kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. 

Beliau berkata parti perlu merumuskan strategi dan dasar yang betul untuk beroperasi dalam senario sedemikian dengan mengambil kira kepentingan generasi muda hari ini, termasuk orang Melayu, yang lebih melihat bagaimana Malaysia dapat berkembang.

"Semasa zaman awal (apabila UMNO ditubuhkan), keadaan demografi adalah berlainan, perjuangan (UMNO) lebih berkisar kepada peluang anak-anak muda untuk memasuki universiti, menjalankan perniagaan... perjuangan bagi memperkasakan masyarakat adalah penting.

"Tetapi sekarang, keadaan berbeza untuk golongan muda dan berpendidikan, yang telahpun diperkasakan dari segi ekonomi dan ini menjadi cabaran unik kepada kita (untuk kekal relevan)," kata Khairy semasa menjawab soalan daripada hadirin semasa Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia ke-9, di sini hari ini.

Sidang Kemuncak dua hari itu dianjurkan oleh Majlis Pelajar United Kingdom and Eire (UKEC) apabila sebilangan orang terkemuka akan berbincang dan berkongsi dengan penonton hasil dapatan mereka tentang isu-isu semasa.  

Sementara itu, Khairy berkata perubahan pesat dalam demografi dan sosiopolitik Malaysia adalah salah satu sebab penting mengapa UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras untuk menangani krisis kepercayaan dan keyakinan yang dihadapi oleh parti itu.

Beliau berkata, walaupun UMNO dan BN amat 'beruntung' kerana Pakatan Rakyat berada di tengah-tengah ketidakstabilan, parti itu tidak harus bergantung kepada senario itu tetapi harus mencari formula yang tepat supaya orang ramai menaruh kepercayaan kepada parti.  

"Saranan untuk UMNO sekarang ialah untuk mendekati rakyat Malaysia dan memberitahu mereka bahawa kita mentadbirkan negara ini dengan baik dan mereka boleh mempercayai kita.

"Ada banyak perkara bagi kita lakukan untuk mengembalikan kepercayaan, untuk menangani krisis keyakinan, untuk membetulkan persepsi (negatif). ia tidak lagi tentang sistem naungan apabila saya memberi kamu sesuatu dan kamu mesti
menyokong saya (sebagai balasan)," katanya.

Khairy, yang juga Pengerusi Pemuda BN, menambah jika tiada apa-apa dilakukan (bagi mengatasi krisis keyakinan dan tanggapan negatif), pengundi akan beralih kepada pakatan pembangkang.

Kepada soalan tentang mengapa pelajar dinafikan hak mereka untuk menyuarakan tentang isu-isu semasa, Khairy menjawab bahawa kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang mencukupi untuk memastikan suara ini didengar dengan betul, termasuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Bagaimanapun, Khairy berkata ini tidak menimbulkan masalah kepada pelajar untuk menyatakan pendapat mereka selagi ia dilakukan dengan betul dan tidak melanggar undang-undang.

"Jika anda ingin menyumbang, jangan membuat tanggapan umum bahawa setiap anak muda Malaysia akan dihukum atau didakwa.

"Kerana jika anda mahu menjadi sebahagian daripadanya, anda harus dibenarkan untuk berbuat demikian, tetapi jika anda melanggar undang-undang (ketika itu) tidak banyak yang boleh dilakukan," katanya.

Tags: , , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment