UMNO Johor Terus Nyatakan Sokongan Terhadap Najib Dalam Berdepan Kemelut Parti


JOHOR BAHARU, 9 Ogos -- UMNO Johor akan terus menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendepani kemelut yang melanda parti ketika ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kemelut dan krisis yang melanda ketika ini perlu diselesaikan dengan telus selain menerusi cara terbaik yang mengangkat keadilan dan kebenaran.

"UMNO Pasir Gudang sangat prihatin dengan kemelut itu dan kita mengambil pendirian bahawa ruang dan masa mesti diberi kepada pucuk pimpinan parti untuk perkara ini dirungkaikan.

"Atas sebab itulah, kami alu-alukan dan hargai janji Datuk Seri Presiden untuk menyelesaikan hutang berkaitan dengan 1MDB (1Malaysia Development Bhd) dalam masa enam bulan dan kami percaya ia akan tercapai," katanya berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, di sini hari ini, yang disempurnakan Najib.

Sambil mengakui bahawa UMNO kini tidak berada dalam kedudukan yang sebaiknya, Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu berkata UMNO memerlukan pencerahan dan pihaknya percaya Najib mempunyai jawapan untuk pencerahan itu sekali gus membawa UMNO ke jalan hadapan.

Menteri Besar Johor itu menegaskan, dalam mengambil ikhtiar untuk menyelesaikan pelbagai isu yang mendepani parti dan negara, pihaknya mengajak semua pihak untuk mendengar pandangan akar umbi dengan sabar.

Beliau berkata dengan keadaan pentas politik yang sudah berubah, UMNO tidak boleh menidakkan sesiapa jua daripada bersuara memandangkan perkara itu merupakan fitrah manusia dan jiwa demokrasi.

"Tutuplah ruang formal untuk bersuara, pasti akan dicari ruang lain untuk mereka menyatakan rasa dan pandangan mereka. Dalam kebanyakan keadaan, mereka akan menemui ruang alternatif, malah lebih berpengaruh, lebih kuat dan lebih
berkesan.


"Terutama di kawasan seperti Pasir Gudang ini, kami berhadapan dengan anggota dan pengundi yang 'urban', yang 'sophisticated', yang mengambil pusing keadaan mereka," katanya sambil menambah UMNO akan memahami lebih mendalam
aspirasi rakyat sekiranya mendengar dengan sabar.


Mengenai pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam rombakan Kabinet baru-baru ini, Mohamed Khaled berkata UMNO Johor turut mengambil ketetapan untuk menghormati keputusan Najib kerana itu hak mutlak Perdana Menteri, walaupun pada hakikatnya ada di kalangan anggota UMNO Johor yang terluka.

Beliau berkata pihaknya mengambil ketetapan bahawa UMNO hanya mempunyai satu nakhoda yang mesti diberi kepercayaan untuk mengemudi 'bahtera' parti.

Menurut Menteri Besar Johor itu, dalam masa yang sama, hormat kepada Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO tidak akan berkurangan kerana ia adalah cara UMNO Johor yang sentiasa ingin mendamaikan dan mengajak semua pihak ke arah
permuafakatan dalam keluarga besar UMNO.


Katanya mana mungkin UMNO Johor membelakangkan Muhyiddin disebabkan beliau sudah bukan lagi Timbalan Perdana Menteri memandangkan persahabatan dalam UMNO Johor bukan kerana darjat, pangkat, gelaran dan sama sekali bukan sekadar upacara serta martabat.

"Kepada Tan Sri Muhyiddin, harapan kami ialah semoga dapat terus bersama mendukung perjuangan UMNO, memperbaiki bangsa dan agama. Inilah UMNO Johor, mementingkan nilai, berbudaya tinggi dan teguh pada prinsip dan kerana itu, UMNO terus diyakini di Johor," katanya.
Tags: , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment