Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000
pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan
krisis pelarian.
Itulah kenyataan PM Malaysia, Datuk Seri Najib
Tun Razak pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB),
Khamis.
Ujarnya, negara-negara Islam sebahagiannya
bertanggungjawab memastikan kesejahteraan orang Syria yang terpinggir melarikan
diri dari negara mereka dengan jumlah yang besar sehingga mengakibatkan tekanan
ekonomi dan sosial di Eropah.
"Sebab itu Malaysia selama ini telah
mengambil banyak orang yang melarikan diri daripada peperangan, kebuluran dan
penganiayaan. Kini kami mempunyai ratusan ribu migran dan kami mengambil lebih
ramai awal tahun ini apabila terdapat krisis kemanusiaan di Laut Andaman.
Dilaporkan, sejak empat tahun lepas, kira-kira
empat juta pelarian Syira telah melarikan diri ke negara-negara jiran dan
bergelumang dalam kancah kemiskinan.
Najib berkata penyelesaian antarabangsa yang
baharu diperlukan bagi menangani krisis migrasi.
Katanya "kita mesti menghormati nilai
kemanusiaan bersama" dan isu berjuta-juta rakyat Syria melarikan diri dari
negara mereka harus menjadi kebimbangan dan perhatian dunia.
"Hanya apabila kita melangkaui batas
bangsa dan anutan, hanya apabila kita melihat gambar-gambar migran yang
terdesak, mangsa ekstremis dan mereka yang hidup diselubungi kebuluran dan
kemiskinan - dan melihat mereka bukan sebagai orang asing tetapi sebagai
saudara kita.
"Apabila kita melihat gambar memilukan
jasad Aylan Kurdi berusia tiga tahun yang terdampar di pantai dan merasakan
seolah-olah anak kita sendiri dalam wajah kanak-kanak lelaki tidak berdosa itu
maka kita akan bertindak untuk berbuat lebih baik.
"Orang di seluruh dunia merayu bantuan
kita. Kita tidak boleh - tidak akan membiarkannya sahaja," kata Najib.
Perdana Menteri turut mengulangi kekecewaan
Malaysia terhadap kegagalan PBB menerima pakai resolusi menubuhkan sebuah
tribunal antarabangsa untuk menyiasat insiden menembak jatuh pesawat Malaysia
Airlines MH17 kerana kuasa veto dikenakan.
"Kami akan terus menuntut keadilan
menerusi opsyen undang-undang lain kerana kami bertanggungjawab terhadap
keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian jenayah yang kejam ini,"
katanya.
Pada 29 Julai lepas, Rusia menggunakan kuasa
veto untuk menghalang cadangan lima negara yang dirintis Malaysia untuk
menubuhkan tribunal jenayah antarabangsa sementara bagi membicarakan mereka
yang bertanggungjawab menembak jatuh penerbangan MH17 tahun lepas.
Resolusi tersebut mendapat 11 undi menyokong
daripada Chad, Chile, Perancis, Jordan, Lithuania, Nigeria, Sepanyol, United
Kingdom dan Amerika Syarikat.
China, Venezuela dan Angola, bagaimanapun,
berkecuali daripada mengundi.
Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal
penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terkorban apabila pesawat itu
ditembak jatuh di Donetsk di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas.
0 Komen