Pemuda UMNO Bentang Laporan Sesi Pendampingan Berkaitan TPPA


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini telah menyediakan laporan sesi pendampingan berkaitan Perjanjian Trans Pasifik (TPPA).

Laporan ini adalah hasil daripada dua sesi pendampingan berkaitan TPPA yang telah dilaksanakan di Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) dan sesi maklum balas oleh pemegang-pemegang taruh bersama Pemuda UMNO.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI), Tengku Zuhri Aziz berkata laporan ini disediakan Pemuda UMNO Malaysia di bawah Biro Profesional Muda (BPM) pimpinan saudara Shahril Hamdan dan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) sendiri di bawah pimpinannya.

“Laporan ini juga telah pun dibentangkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan telah mendapat persetujuan daripada YB Datuk Seri Mustapa Mohamad untuk dihebahkan dan dikongsi kepada orang ramai.

“Laporan ini memberi tumpuan kepada tindakan-tindakan peralihan sebelum TPPA dilaksanakan menjelang 2017 nanti. Hasil daripada kajian pihak Pemuda, kami mendapati terdapat banyak cabaran yang perlu dihadapi, khususnya cabaran terhadap daya saing syarikat-syarikat bumiputera untuk kekal relevan di pasaran tempatan serta daya saing mereka untuk menceburi pasaran luar dan mendapat pulangan daripadanya.

“Oleh itu, laporan ini menjurus kepada cadangan-cadangan oleh Pemuda kepada Kerajaan Malaysia untuk memastikan persediaan yang rapi sebelum meratifikasi perjanjian perdagangan TPPA ini,” ujarnya yang juga EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Tambahnya, Pemuda berbangga dengan laporan yang komprehensif dan merangkumi banyak bahagian ini; namun, ia tidaklah menyentuh semua bahagian di dalam TPPA.

Sebaliknya jelas beliau lagi, laporan ini telah memberi fokus kepada empat bidang utama yang dirasakan penting iaitu Model CGE; Industri-industri utama; Bumiputera, Syarikat Berkaitan Kerajaan, dan Perolehan Kerajaan; serta tenaga kerja dan penyelesaiaan pertikaian pelabur.

“Keempat-empat bidang ini telah dipilih setelah mendapat maklum balas daripada para pemegang taruh yang yakin bahawa isu-isu tersebut adalah yang terbesar dan terutama.

“TPPA adalah dokumen yang penuh potensi tetapi bukan jaminan. Ia menjanjikan kita akses kepada 800 juta pengguna dan sebagai negara yang sangat bergantung kepada perdagangan, Malaysia bakal memperoleh manfaat yang amat besar.
“Pemuda berharap TPPA bakal menjadi pemangkin kepada transformasi struktur yang mampu memberiimpak positif kepada kemampanan jangka panjang,” ujarnya dalam sidang media mewakili Khairul Azwan Harun, Naib Ketua Pemuda UMNO di sini baru-baru ini.

Walaubagaimanapun katanya lagi Pemuda sedikit khuatir kerana potensi ini bergantung kepada tindakan kita dalam menangani isu struktural dan taktikal.
“Oleh itu, Pemuda menggesa Kerajaan bertindak dengan pantas dalam mengenalpasti mekanisme yang boleh dilaksanakan terutamanya dalam meningkatkan kemampuan usahawan tempatan, serta sistem perolehan kerajaan dan SBK.

“Kita memerlukan langkah peralihan sementara yang taktikal untuk menjana perubahan. Pemuda berpendapat bahawa usaha-usaha seperti pemadanan aktiviti perniagaan dan taklimat tentang prosedur perniagaan di negara-negara TPPA perlu dilaksanakan dengan segera.

“Pemuda berpendapat bahawa isu struktural jangka panjang adalah amat penting di mana Malaysia perlu mempamerkan komitmen yang serius dalam menghadapi pasaran dunia yang lebih terbuka dengan persaingan sengit.


“Pemuda juga ingin menyatakan kebimbangan terhadap komunikasi yang bakal menjadi cabaran besar setelah TPPA diratifikasi. Melihat ke hadapan, strategi komunikasi perlu berubah ke arah usaha peralihan dan persediaan yang akan dilaksanakan baik dari segi backend mahupun frontend,” ujarnya lagi. 
Tags: , , , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment