Pemuda UMNO Tampil 15 Cadangan Langkah Persediaan Sebelum TPPA Berkuatkuasa




Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini tampil dengan cadangan- cadangan berkenaan langkah peralihan dan persediaan yang harus diambil untuk memastikan pelaksanaan yang rapi sebelum TPPA berkuatkuasa dijangka menjelang tahun 2017 nanti

Pengerisi Biro Profesional Mudanya, Shahril Hamdan berkata cadangan ini dibuat melalui laporan sesi pendampingan berkaitan Perjanjian Trans Pasifik (TPPA) oleh Biro Profesional Muda (BPM) dan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) bersama pemegang-pemegang taruh seperti usahawan Bumiputera, golongan profesional, dan wakil-wakil Kementerian.
“Laporan ini mendapati bahawa TPPA adalah dokumen yang berpotensi tinggi tetapi potensi itu harus didahului dengan tindakan Kerajaan dalam menangani isu struktural dan taktikal di mana Kerajaan wajar melaksanakan langkah- langkah peralihan sementara dan langkah-langkah penyelesaian jangka panjang.
“Selain itu, laporan ini juga menekankan isu komunikasi sebagai satu cabaran besar kepada Kerajaan dan pemegang taruh khususnya berkenaan dengan penerangan impak dan implikasi TPPA yang berbeza mengikut industri,” ujarnya yang juga EXCO Pemuda UMNO Malaysia.
Tambahnya, daripada sudut cadangan, laporan ini telah mengesyorkan 15 cadangan utama kepada Kerajaan.
“Berkenaan dengan model CGE yang merupakan satu kaedah baik untuk mengukur impak penyertaan Malaysia dalam TPPA kepada ekonomi negara, laporan ini mencadangkan supaya unjuran model itu diambil sebagai indikator pencapaian penting (KPI) penyertaan Malaysia dalam TPPA.
“Malaysia perlu berusaha untuk menyamai atau melebihi kadar peningkatan daya saing ekonomi dan produktiviti negara lain supaya kita mampu mencapai unjuran model CGE.
“Perhatian juga harus diberi kepada kemungkinan impak positif TPPA kepada pengguna di mana harga barangan menurun,” ujarnya dalam sidang media di sini hari ini.
Jelas beliau, satu kajian kuantitatif spesifik dijalankan bagi mengukur impak TPPA pada sektor-sektor penting ekonomi terutamanya kesan kepada peluang pekerjaan dan pertumbuhan keluaran serta mencari kaedah meningkatkan pemilikan tempatan terutamanya Bumiputera dalam sektor tekstil dan E&E dengan memberi bantuan bersasar kepada aspek-aspek penting seperti perlesenan, pendaftaran, dan pemadanan dengan pembeli.
“Kerajaan disyorkan untuk melaksanakan satu kajian mengenalpasti kaedah paling strategik untuk mentafsir syarat-syarat perolehan Petronas supaya mampu memberi perlindungan terbaik kepada pengusaha minyak dan gas tempatan.
“Pemuda turut mencadangkan untuk mewujudkan sebuah rancangan yang strategik bagi meningkatkan keupayaan syarikat perkhidmatan tempatan sekiranya harga minyak mentah dunia kembali meningkat.
“Kerajaan perlu mengambil pendekatan agresif membantu syarikat pembinaan Malaysia menerokai pasaran luar yang dijanjikan TPPA, walaupun setakat ini hanya 6.4% daripada nilai kontrak luar syarikat Malaysia adalah di dalam negara TPPA,” tambahnya.
Berkaitan dengan Bumiputera, SBK, PKS, dan Perolehan Kerajaan pula jelas beliau lagi, laporan ini mencadangkan agar Kerajaan menjelaskan dengan lebih agresif tentang kejayaan perunding TPPA dalam meraih pengecualian penuh beberapa institusi, had nilai perolehan yang tidak tertakluk kepada syarat TPPA, dan perlindungan penting seperti kemampuan meneruskan subsidi untuk mengurangkan tahap kebimbangan pihak PKS Bumiputera.
Kerajaan juga tambahnya disarankan untuk memainkan peranan yang aktif dalam meningkatkan keupayaan dan daya saing para usahawan PKS Bumiputera dengan pelan yang menyasarkan pencapaian jangka pendek sebelum tahun 2017.
Pemuda kata beliau lagi mencadangkan untuk mewujudkan satu sistem perolehan strategik untuk Kerajaan dan SBK bagi meningkatkan pegangan pasaran oleh syarikat Bumiputera termasuklah memastikan sebanyak mungkin nilai kontrak yang diberikan kepada PKS Bumiputera kelak dianggap sebagai merit supaya tidak jatuh dalam ‘kuota’ pengecualian yang telah dirundingkan.
“Kerajaan turut disaran melaksanakan satu sistem sementara dalam perolehan Kerajaan dengan serta merta untuk digunakan dalam dua tahun mendatang ini bagi membantu vendor Bumiputera mengenalpasti perbezaan harga yang perlu mereka kurangkan kelak supaya kekal kompetitif”, ujarnya.
Berkenaan dengan tenaga kerja dan Penyelesaiaan Pertikaian Pelabur (ISDS) pula beliau menjelaskan laporan ini menggesa Kerajaan memperkuat kebolehan guaman untuk mempertahankan syarikat tempatan dan memaksimumkan peluang kejayaan mereka.
“Kerajaan turut disaran melaksana satu kajian untuk memastikan kebajikan tenaga kerja tempatan tidak terlalu terkesan terutamanya dalam industri-industri yang mempunyai banyak tenaga kerja asing serta mewujudkan satu mekanisme agar sebarang permintaan atau tuntutan kesatuan perlu melepasi satu ujian kesejagatan sekaligus mengurangkan kebarangkalian ketidakpuasanhati antara pekerja tempatan dan pekerja asing.
“Sehubungan dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO ingin menyatakan kesediaannya untuk membantu baik dari segi menyumbang kepada perangkaan dan pelaksanaan langkah peralihan dan persediaan, mahupun dari segi strategi komunikasi dalam memastikan keberhasilan yang terbaik untuk Malaysia dan Kerajaan Barisan Nasional”, katanya.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment