Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin menasihatkan
rakyat dan orang ramai agar jangan mudah terpesong dengan dakyah dan kata-kata
manis pembangkang, kelak kita juga yang akan rugi.
“Jangan terlalu ikut emosi mengatakan UMNO dan BN ini selalu nak
menipu orang sahaja, apabila kita buat sesuatu, pembangkang sengaja menimbulkan
segala macam isu, semata-mata untuk memesongkan pemikiran rakyat untuk menolak
segala program dan pembangunan yang dibuat oleh kerajaan BN.
Akhirnya, tindakan tersebut akan merugikan rakyat. Ketika pembangkang
menimbulkan isu ini, ada sebilangan kecil rakyat yang terpedaya,” ujarnya mengulas
mengenai perkembangan terkini 34 penghuni flat 4 tingkat Kampung Kerinchi yang
terlepas peluang memiliki Residensi Kerinchi yang dilancarkan PM baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi BN Lembah Pantai menjelaskan, ada di
kalangan 34 penduduk menolak pembangunan Residensi Kerinchi dahulu menghubungi
pihaknya dalam usaha untuk mendapatkan rumah yang telah ‘terlepas’ tersebut.
“Mereka ada menghubungi kita, namun perkara tersebut telah lama
terlepas, apa yang mampu UMNO dan BN Lembah Pantai usahakan ialah jika mereka
datang secara berkumpulan, kita akan merayu kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur untuk menjual rumah-rumah PPR yang mereka sewa pada ketika ini.
Ini kerana ketika mereka terpaksa berpindah selepas tewas di
mahkamah kepada kumpulan majority (penduduk yang menerima pembangunan Residensi
Kerinchi), ketika itu saya merupakan Menteri Wilayah Persekutuan, saya bantu
juga mereka memandangkan wakil rakyat mereka (Nurul Izzah) telah pun
meninggalkan mereka ketika itu, saya bantu mereka untuk menyewa rumah PPR,
ketika ini mereka masih duduk di situ iaitu di PPR Muhibbah, Lembah Pantai.
Ada di antara mereka yang mahu membeli rumah tersebut, itu saya
boleh bantu tetapi buat secara berkumpulanlah. Kesian juga mereka kerana Izzah
telah bawa mereka ‘ke jalan yang salah’,
akhirnya mereka rugi, rumah pun tak dapat, jadi kita nak tolong juga untuk
mendapatkan rumah walaupun bukan rumah Residensi Kerinchi yang sepatutnya
mereka dapat tetapi sekurang-kurangnya rumah DBKL,” ujarnya yang juga Ketua
UMNO Bahagian Lembah Pantai.
Tambahnya, pembangkang akan menmgambil apa sahaja peluang untuk
mengaburi mata rakyat, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum tetapi akan hilang
selepas mereka berjaya menang di satu-satu kawasan dan akan timbul semula
menjelang pilihan raya umum yang seterusnya.
“Begitulah juga dengan insiden kebakaran di PPR Kerinchi
(semalam), setelah sekian lama menghilangkan diri, tetapi bila dah dekat PRU,
ada kejadian seumpama ini, baru mereka muncul untuk bertanya khabar itupun
melalui wakilnya, tetapi ke mana menghilangnya mereka selepas menang dalam
pilihan raya umum dulu,” tambahnya lagi.
** Laporan dari portal UMNO-Online.
0 Komen