‘GPMS BERI KARPAL – 7 HARI: MINTA AMPUN ATAU BERHADAPAN REFERENDUM/SUARA RAKYAT’

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengutuk sikap Karpal Singh yang masih lagi berdegil dan terus menampilkan sikap kurang ajar untuk mencabar kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Kenyataan bahawa, ‘Malaysia tidak lagi berada dalam sistem feudal’ – jelas berbunyi sarkastik, membayangkan sikap dan mentalitinya yang terus-terusan gemar untuk membangkitkan isu yang cukup dekat dan akrab di hati rakyat ini.

Presiden GPMS, Dato‘ Reezal Merican Naina Merican berkata, GPMS cukup bersetuju bahawa pandangan keterlaluan yang diungkap oleh mana-mana pihak sekalipun, termasuk Wakil Rakyat, wajar dan boleh dikenakan Akta Hasutan.

GPMS merasakan sudah wujud keperluan untuk kita mengawal keceluparan mulut sesetengah pihak dengan undang-undang, sebelum keadaan menjadi lebih mudarat dan merosakkan.

Untuk itu, GPMS mendesak Karpal Singh untuk memohon ampun dan maaf secara terbuka kepada Istana Perak. Keceluparan beliau itu sudah melampaui batas, sekaligus membayangkan Wakil Rakyat itu gagal menjadi seorang warganegara yang setia kepada prinsip Rukunegara.

Kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu mestilah terus berada di atas kedudukannya yang cukup istimewa dan tidak diheret ke dalam permainan politik peribadi Karpal Singh. Karpal seharusnyalah cukup faham dengan pengamalan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen dan tidak meneruskan agenda peribadi untuk menidakkan peranan institusi penting itu.

Justeru, GPMS memberikan tempoh tujuh (7) hari kepada Karpal untuk memohon ampun dan maaf SECARA TERBUKA kepada pihak Istana. Seandainya beliau gagal berbuat demikian, GPMS akan menggerakkan referendum dan mendapatkan sokongan rakyat untuk menggesa Kerajaan mengambil tindakan terhadap beliau dengan menggunakan apa sahaja asas perundangan yang ada, termasuk Akta Hasutan mahupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Rakyat Malaysia masih lagi menyanjung tinggi kedudukan dan kedaulatan institusi Raja. Kita tidak mahu individu biadab seperti Karpal Singh terus mencemar kedaulatan Raja-Raja Melayu dan menganggu gugat keharmonian hubungan rakyat dan Raja.

GPMS ingin memberi amaran kepada pihak-pihak yang mengamalkan permainan politik seumpama ini. Mereka harus ingat, bahawa keputusan pilihanraya bukanlah lesen untuk mereka mengganggu gugat segala tiang seri yang menjamin keharmonian dan kerjasama antara kaum selama ini.

GPMS menolak sekeras-kerasnya sikap dan budaya politik yang merosakkan seperti ini. Kepada Karpal – GPMS ingin menyatakan, masa sedang berlalu pergi – bertindak atau anda berhadapan dengan suara rakyat!
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment