PEMUDA BANTAH BIASISWA TAK DITAMBAH

Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO membantah langkah kerajaan untuk meningkatkan kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada bukan Bumiputera daripada 10 peratus pada tahun sebelumnya hingga ke 45 peratus tahun ini tanpa meningkatkan jumlah keseluruhan biasiswa yang diperuntukkan.

Pengerusinya, Ahmad Ikmal Ismail, berkata langkah itu akan memberikan kesan drastik kepada pelajar Bumiputra yang dinafikan 700 peluangnya menerima biasiswa dan diberikan kepada pelajar bukan Bumiputra kerana jumlah keseluruhan biasiswa sebanyak 2,000 tidak ditambah untuk agihan seluruh pelajar berkelayakan.

Pada dasarnya bersetuju penambahan kuota dilakukan bagi membuka lebih banyak peluang kepada pelajar bukan Bumiputra namun berharap kerajaan menggunakan konsep Dasar Ekonomi Baru dengan menambah peruntukan biasiswa supaya lebih bersesuaian mengikut penambahan bilangan kuota.

Katanya, penambahan peruntukan akan memerlukan lebih banyak dana namun ia lebih adil selain menganggapnya sebagai pelaburan untuk membangunkan negara dan boleh distruktur semula sekiranya diperlukan, selepas mereka tamat belajar dengan memberikan tumpuan kepada sektor strategik lain.

Masih terdapat banyak alternatif lain yang lebih adil. Melalui cadangan penambahan peruntukan biasiswa kita akan dapati Pelajar Bumiputera tidak akan dinafikan hak mereka dan pelajar Bukan Bumiputera akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapatkan biasiswa JPA.

Khamis lalu, akhbar melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan agihan biasiswa JPA bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN) kepada pelajar bukan Bumiputera dinaikkan kepada 45 peratus daripada 10 peratus mulai tahun ini.

Katanya, 2,000 biasiswa disediakan oleh JPA iaitu 1,100 untuk pelajar Bumiputera dan 900 untuk pelajar bukan Bumiputera pada pecahan sebanyak 55 peratus untuk Bumiputera dan 45 peratus kepada bukan Bumiputera diagihkan pembiayaannya supaya lebih adil kepada semua pelajar cemerlang.

Sementara itu, mengulas kenyataan JPA berkenaan masalah kuota yang dikenakan oleh universiti luar negara adalah faktor terbesar jumlah biasiswa tidak ditambah, Ahmad Ikmal berkata, JPA tidak patutnya hanya mengambil pelajar perubatan kerana negara turut memerlukan kepakaran pelbagai bidang strategik lain seperti kejuruteraan dan ekonomi.

Katanya, beliau yakin lebih banyak universiti berkualiti lain sanggup menerima pelajar yang ditaja oleh kerajaan dalam bidang berkenaan serta mempertimbangkan cadangan menjimatkan peruntukan dengan menghantar pelajar jurusan perubatan ke Universiti yang lebih murah tetapi diiktiraf oleh Malaysian Medical Council (MMC) seperti di India, Mesir dan Russia.

“Lebih banyak peluang akan terbuka. Saya juga ingin menyatakan bukan saja pelajar cemerlang Bukan Bumiputera yang telah gagal mendapat biasiswa JPA untuk ke luar Negara tetapi terdapat juga pelajar cemerlang Bumiputera yang juga gagal dan sedang merayu kepada JPA untuk dipertimbangkan,” katanya.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

  1. JANGAN BANTAH2 SAHAJA LEPAS ONG TEE KIAT ATAU TIONG LAI MARAH2..KETUA KITA MINTA MAAF..kui!

Post a Comment