JAIS SARDAY SETUJU MANSUHKAN PERGERAKAN SAYAP UMNO.

Banyak pihak tidak setuju, khususnya pemimpin-pemimpin muda berkenaan saranan dan cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin, Yang Mulia Tan Sri Tengku Ahmed Rithaudeen untuk memansuhkan pergerakan sayap-sayap, namun tidak bagi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang, YB Md. Jais Sarday yang bersetuju dengan saranan tersebut.

Mengapa Jais berpandangan demikian? ikuti perbualan aku dengannya dalam telefon petang tadi.


Saya bersetuju dengan cadangan dan saranan Pengerusi Lembaga Disiplin, Yang Mulia Tan Sri Tengku Ahmed Rithaudeen untuk memansuhkan pergerakan sayap-sayap, kalau berdasarkan kekecewaannya sebagai veteran UMNO terhadap segala masalah khususnya politik wang yang berlaku dalam UMNO pada hari ini.

Namun, adakah cadangan dan saranannya tersebut mampu menyelesaikan segala permasalahan UMNO hari ini, adakah dengan memansuhkan sayap-sayap UMNO, gejala politik wang akan berakhir sedangkan masalah ini bukanlah satu masalah yang baru?.

UMNO telah buat berbagai-bagai pendekatan, kita pernah membuat perhimpunan satu ketika dulu untuk sama-sama berikrar menolak budaya politik wang, kita telah pun menubuhkan Lembaga Disiplin UMNO dan Tataetika Ahli UMNO, malah hari ini, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah turut terlibat dalam isu politik wang dalam UMNO ini.

Namun sejauhmana keberkesanannya dalam mendidik dan mencegah ahli-ahli UMNO untuk tidak terlibat dalam politik wang?

Ia semua bergantung kepada ahli UMNO itu sendiri. Sekiranya kita sebagai ahli parti mahu melihat UMNO stabil, UMNO diterima orang Melayu dan masyarakat khususnya, kita sendiri harus berubah tanpa mengorbankan mana-mana pihak.

Ahli UMNO sendiri perlu sedar bahawa perjuangan UMNO satu ketika dulu diterima oleh rakyat disebabkan perjuangan kita menolak British, menolak penubuhan Malayan Union seterusnya perjuangan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu.

Rakyat pada ketika itu, melihat UMNO sebagai tiang dan payung untuk mereka berteduh dan dijadikan sandaran, tetapi tidak hari ini apabila orang Melayu melihat ada segelintir orang pihak menjadikan UMNO sebagai alat untuk kepentingan diri sendiri dan kelompok tertentu.

Sehubungan dengan itu, kita menuntut keprihatinan pemimpin tertinggi UMNO yang bertanding di peringkat tertinggi parti agar tidak memberi sebarang imbuhan atau wang ringgit untuk para perwakilan. Begitu juga dengan para perwakilan agar tidak mengharapkan sebarang imbuhan dan wang ringgit, untuk memilih pemimpin yang terbaik memimpin UMNO di masa depan.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment