BIRO PENDIDIKAN PEMUDA UMNO KESAL DENGAN PERARAKAN BANTAH PPSMI

Oleh: Ahmad Ikmal Ismail
EXCO Merangkap Pengerusi Biro Pendidikan
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia


Saya ingin menyatakan kesedihan saya membaca laporan-laporan media mengenai ‘perarakan’ membantah PPSMI yang diadakan semalam di Kuala Lumpur. Kebenaran yang telah diberikan oleh pihak polis, yakni berkumpul di Masjid Negara sahaja, tidak diendahkan oleh mereka yang berhimpun, malah melanggar perjanjian awal dengan terus berarak beramai-ramai menghala ke Istana Negara.

Jelas sekali, kehadiran pemimpin-pemimpin pembangkang telah menukar corak perhimpunan ini yang pada asal niatnya adalah aman tanpa provokasi seperti yang dijanjikan oleh Yang Bhg Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Datuk A. Samad Said, kepada satu perarakan dan demonstrasi yang jelas melanggar arahan pihak polis serta undang-undang negara. Jelas sekali pemimpin-pemimpin pembangkang telah mengambil kesempatan atas niat dan perjuangan pejuang-pejuang bahasa.

Saya ingin menyeru kepada Kementerian Pelajaran dan Kerajaan supaya tidak tergesa-gesa bertindak atau tunduk kepada mana-mana pihak terutamanya gerakan-gerakan yang didalangi oleh pembangkang. Pihak pembangkang ini hanya ingin mengambil kesempatan dan “mileage” politik atas perjuangan murni pejuang-pejuang bahasa yang kita sanjungi dengan mengheret mereka untuk berdemonstrasi dan melanggar undang-undang tanpa sebenarnya mengambil kira keselamatan, perpaduan ataupun kestabilan negara.

Tindakan pembangkang yang telah mengeksploitasi Datuk Dr Hassan Ahmad, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan lain-lain telah mencemar imej dan kedudukan kehormat mereka di dalam masyarakat. Penggunaan Masjid Negara, seperti juga penggunaan Masjid Ubaidiah di Kuala Kangsar baru-baru ini oleh pihak pembangkang, juga telah menconteng arang kepada institusi masjid yang menjadi tiang teguh di dalam masyarakat Islam di negara ini.

Dimanakah YB Datuk Seri Abdul Hadi Awang, YB Nasharuddin Mat Isa serta pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain apabila kerajaan Pulau Pinang yang di ketuai oleh DAP merendahkan martabat Bahasa Kebangsaan dalam isu papan tanda jalan? Mengapakah individu-individu ini tidak membangkang apabila rakan mereka sendiri, yakni DAP, memperkecilkan Bahasa Kebangsaan kita?

Rakyat kini inginkan kestabilan di dalam negara kita. Budaya keganasan, demonstrasi dan perarakan bersifat provokasi seperti yang kerap dibuat oleh pembangkang bukanlah budaya rakyat Malaysia. Jikalau budaya pembangkang ini dibenarkan berlarutan, maka keselamatan, ekonomi, sosio-ekonomi serta politik negara akan terus tidak stabil. Ini akan hanya membawa kepada kesan-kesan yang amat negatif untuk negara dan rakyat.

Saya merayu kepada semua pihak terlibat untuk rasional dan memikirkan kesan-kesan daripada insiden semalam. Jikalau 5 siri perbincangan meja bulat yang telah diadakan baru-baru ini tidak memadai, saya menggesa pihak-pihak yang tidak berpuashati terus berbincang dengan Kementerian Pelajaran secara berhemah.

Berikanlah ruang untuk pihak Kerajaan menumpukan perhatian kepada isu-isu lain termasuk membantu rakyat menghadapi masalah ekonomi yang ktia hadapi kini tanpa perlu memikirkan soal-soal demonstrasi atau keganasan jalanan. (8 Mac 2009)
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment