GPMS SETUJU KAJIAN SEMULA PPSMI NAMUN TIDAK SETUJU BAWA ISU PENDIDIKAN KE JALANAN

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sekali lagi ingin membuat penegasan bahawa kami telahpun membuat keputusan bahawa impak dan kesan PPSMI sememangnya wajar untuk dikaji semula secara menyeluruh. Keputusan ini dibuat di dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) GPMS yang diadakan di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands baru-baru ini.

Keputusan ini dicapai dalam semangat dan suasana yang cukup teratur dan demokratik. Semua pandangan disantuni dengan terbuka dan diperhalusi secara menyeluruh. Akhirannya, majoriti daripada perwakilan yang hadir setuju untuk kerajaan menilai semula PPSMI.

Dalam pada itu, GPMS turut terlibat dalam siri Persidangan Meja Bulat yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. GPMS tetap beranggapan - PPSMI mesti dibicarakan secara akademik dan dengan penuh semangat keterbukaan.

Justeru, GPMS ingin memberi penegasan bahawa kami tidak akan sama sekali terlibat dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang dianjurkan oleh pihak tertentu. Membawa dan mengetengahkan isu yang sedemikian teras dan asas - tidak memerlukan demonstrasi dan tunjuk perasaan. GPMS lebih percaya dengan kaedah rundingan dan 'engagement' yang lebih positif.

Ketika mana negara berhadapan dengan suasana ekonomi yang sukar - kecenderungan pihak tertentu untuk melakukan demonstrasi adalah tidak produktif dan membantu usaha pembaikan ekonomi. Sudah sampai masanya, kita mengamalkan 'prinsip hikmah' dalam membicarakan sesuatu isu dan masalah. Membawa isu ke jalanan, belum menjanjikan apa-apa kesan positif - sebaliknya mampu menzahirkan suasana 'kurang senang' di kalangan rakyat.

GPMS - berasa cukup yakin, kalangan pimpinan dan profesional di dalam Kementerian Pelajaran Malaysia mampu mendapatkan keputusan yang terbaik untuk semua. Lebih penting lagi, apa jua keputusan yang bakal diambil - ianya mengambil kira 'latar luas' (bigger picture) kepada usaha memperkasa status pendidikan Negara. GPMS percaya, ianya mampu dicapai - dengan turut mengambil kira kepentingan dan peningkatan martabat Bahasa Melayu seperti yang diinginkan.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment