Pemimpin Pemuda UMNO menyifatkan ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang bertajuk "Menakhoda Zaman" di Majlis perasmian serentak Perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri di sini, malam tadi sebagai panduan dan azimat bagi memastikan UMNO terus menjadi tunjang kekuatan bangsa setelah dikejutkan pada pilihanraya umum lalu.
UMNO bukan sahaja perlu bermuhasabah malah berani melakukan perubahan berdasarkan mesej yang telah diberikan rakyat dalam persekitaran politik ketika ini.
Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata ingatan Datuk Seri Najib yang menyebut tentang kelemahan dan kekuatan yang ada pada parti perlu dinilai sebaik mungkin.
Katanya Timbalan Presiden UMNO telah memberikan suntikan semangat baru kepada seluruh ahli parti bagi membina laluan yang cemerlang kepada UMNO agar terus menjadi wadah perjuangan kepada orang Melayu.
"Datuk Seri Najib telah menjelaskan kepada kita akan kelemahan serta kekuatan yang masih ada pada kita. Walaupun kita telah mengalami kekakalahan dalam beberapa pilihan raya kecil yang lalu, namun UMNO masih lagi mempunyai kekuatan.
"Kekuatan itulah yang perlu digarap dan diperkukuhkan agar kelemahan yang ada diperbaiki sekaligus melonjakkan parti ke arah yang lebih cemerlang demi masa depan agama, bangsa dan negara", katanya.
Jelas beliau lagi ahli UMNO khususnya sayap parti mesti segera mengambil iktibar daripada mesej yang disampaikan pada pilihan raya umum lalu untuk bangkit dan mencarta arah tuju perjuangan parti yang diterima rakyat.
Kegagalan untuk berbuat demikian tegasnya akan menyebabkan UMNO bakal disisihkan rakyat.
Pada masa yang sama beliau juga yakin cadangan Datuk Seri Najib untuk mengubah struktur sistem pemilihan UMNO pada masa akan datang untuk memberi ruang dan peluang yang lebih luas kepada seluruh ahli parti untuk memilih kepimpinan sebagai sesuatu yang kena pada masanya.
"UMNO adalah parti yang sentiasa peka dan mampu menyesuaikan perjuangannya mengikut tuntutan masa", ujarnya.
Sementara itu Bendahari Pemuda UMNO, Datuk Abdul Hamid Mohd Nazahar turut bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Najib bahawa kepimpinan UMNO perlu berubah dengan mengambil pendekatan mesra rakyat serta suka berkhidmat.
Bagi beliau konsep berkenaan perlu tersemat di setiap hati pemimpin UMNO kerana rakyat mahukan pemimpin yang sentiasa mendengar dan mendampingi mereka baik ketika senang mahu pun susah.
"Kita kini berada dalam persekitaran baru. UMNO tidak lagi boleh leka kerana loceng amaran sudah dibunyikan.
"Rakyat masih memerlukan kita dan akan terus bersama kita selagi kita menjadikan loceng amaran itu sebagai panduan untuk melakukan perubahan", ujarnya.
Jelas beliau UMNO tidak boleh bergantung hidup pada sejarah kecemerlangannya semata-mata tetapi gagal memahami tuntutan semasa rakyat.
Manakala bagi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shahrirzaman Abdul Wahab pula, ucapan Datuk Seri Najib padat dengan amanah dan peringatan kepada ahli UMNO bagi mendepani cabaran yang mendatang.
"Saya cukup tertarik dengan sistem pengkaderan yan diungkapkan tadi. Bagi saya sistem pengkaderan ini perlu diperhebatkan agar generasi muda tahu apa itu perjuangan UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu.
"Buatlah apa cara dan kaedah sekali pun agar pengkaderan itu benar-benar memberi nilai tambah kepada ahli kita untuk ters berkhidmat dan bersiap sedia pada bila-bila masa demi parti yang kita sayangi ini", ujarnya.
Beliau seterusnya menambah, ahli UMNO perlu bersatu padu sepertimana yang ditekankan oleh Datuk Seri Najib kerana yang menang tidak akan menang semua dan yang kalah pula tidak akan kalah semua.
"Ungkapan itu cukup halus maknanya untuk dihayati khususnya dalam konteks pemilihan kepimpinan UMNO hari ini kerana apa guna mendapat jawatan tinggi seandainya parti tidak mendapat tempat dihati rakyat.
"Kekalkan semangat ukhuwwah dan mandatkan kepada kepimpinan baru dengan hati yang bulat demi memartabatkan dan seterusnya menjayakan agenda parti", katanya.
Sumber: www.pemuda.com.my

0 Komen
Post a Comment