EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata kehadiran empat Ketua Pemuda Umno Bahagian di Selangor bagi memberi keterangan kepada Jawatankuasa Khas menyiasat aduan Pengerusi DAP Karpal Singh memberi peluang kepada anggota sayap parti itu memberikan maklumat sebenar insiden berkenaan.Mukhriz berkata apa yang dilaporkan Karpal, yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor, adalah tidak tepat dan peluang untuk memberi keterangan mengenai insiden itu amat dialu-alukan.
"Kehadiran keempat-empat anggota kita (UMNO) di mesyuarat tersebut membuktikan kita tak lari daripada tanggungjawab dan ia memberi peluang kepada mereka untuk memberi penjelasan dan saya kira sekarang ini terletak di tangan jawatankuasa khas tersebut untuk mengambil tindakan seperti mana yang diharap-harapkan," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, Rabu.
Pada 26 Feb lepas, perkarangan bangunan Parlimen kecoh apabila sekumpulan individu berhimpun menuntut Karpal memohon maaf kerana menggunakan perkataan "celaka" terhadap Pemuda Umno.
Keadaan menjadi kecoh apabila beberapa orang Anggota Parlimen masuk campur dan berlaku insiden tolak menolak sesama mereka.
Mukhriz berkata Pemuda Umno tidak berkrompromi dengan mana-mana pihak yang melontarkan fitnah dan tohmahan kepada Pemuda dan akan bersuara lantang menentang.
"Pada masa yang sama kita juga sentiasa mempertahankan pendekatan yang berhemah. Apa yang berlaku perlu penjelasan kerana saya fikir apa yang dilaporkan ada yang tidak begitu tepat dan kerana itu peluang yang diberi jawatankuasa untuk memberi penjelasan adalah sesuatu yang dialu-alukan," katanya.
Ditanya sama ada Karpal menggunakan keistimewaannya sebagai Anggota Parlimen untuk membuat kenyataan sedemikian terhadap Pemuda UMNO, Mukhriz berkata imuniti perlu digunakan dengan penuh bertanggungjawab dan bukan sewenang-wenangnya.
"Saya bersetuju agar imuniti ini dikekalkan dalam Dewan Rakyat tetapi ia perlu diiringi tanggungjawab. Sekarang ini sudah ada bibit-bibit dicadangkan agar imuniti ini dimansuhkan.
"Saya fikir dengan imuniti ini kita bebas berhujah di Dewan Rakyat tapi biarlah dengan sopan santun agar negara kita lebih dikenali," katanya.
Mengenai penarikan diri Anggota Parlimen pembangkang daripada jawatankuasa itu, Mukhriz berkata beliau tidak menolak kemungkinan ia satu taktik pembangkang untuk menidakkan kredibiliti jawatankuasa itu.
"Saya rasa terkilan kerana pihak pembangkang tidak hadir pada mesyuarat itu walaupun mereka dijemput.
"Jadi ini mungkin satu taktik untuk menidakkan kredibiliti jawatankuasa tersebut. Kita akan lihat nanti apabila perkara ini dibangkitkan di dalam Dewan Rakyat," katanya.
Empat orang yang dipanggil untuk memberi keterangan hari ini ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Serdang, Shah Alam, Petaling Jaya Utara dan Gombak.
Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin itu turut dianggotai timbalannya Datuk Dr Ronald Kiandee selaku Timbalan Pengerusi, selain turut dianggotai Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Datuk Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), R. Sivarasa (PKR-Subang), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat).
Sumber: BERNAMA

9:29 AM
SG - kena buang flag di atas tu..
SG - saya akan email seberapa segera nanti..
Tq
10:03 AM
Ucapan Mukhriz itu terlalu diplomasi. Mungkin hampir pemilihan pemimpin kot. Cakap terus terang bahawa terlalu jauh menyimpang dari peranan pemuda sebenar. Yang jelas tak ada apa satu kursus terlaksana semasa Hisham menjadi Ketua.
12:20 PM
Bab tu, hanya saya sebagai SUK Biro Latihan Pemuda UMNO ada jawapannya.
bagi saya, biarlah apa yang dah berlaku...berlalu sahaja. Semoga kepimpinan baru nanti, dapat menyempurnakan misi yang belum selesai. Insya-Allah