JANGAN SIA-SIAKAN MUKHRIZ

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


"NANTI kalau saya beri apa-apa kenyataan media tolong siarkan ye, walaupun saya tidak ada apa-apa jawatan dalam UMNO." Itulah pesanan Datuk Mukhriz Mahathir kepada penulis dan beberapa rakan yang lain sejurus selepas melawat bilik berita Utusan Malaysia pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO pada Sabtu lalu.

Mukhriz mungkin membuat pesanan itu kerana merasakan sebelum ini beliau sentiasa menjadi buruan wartawan kerana kedudukannya sebagai calon Ketua Pemuda UMNO. Tetapi hakikatnya seperti kata salah seorang pembantu beliau Mukhriz masih lagi Ahli Parlimen Jerlun justeru beliau patut mendapat tempat dalam media.

Apa pun kehadiran Mukhriz dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda telah membolehkan ia menjadi tumpuan ramai, tambahan pula beliau bersaing bersama-sama dengan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Dalam keadaan ramai yang mempertikaikan kemenangan Khairy sehingga ada yang mengejek setiap kali namanya disebut di dalam Dewan Merdeka, tetapi Mukhriz benar-benar berjiwa besar. Beliau bukan sahaja mengiktiraf kemenangan Khairy malah bersedia pula untuk membantu memperkasakan Pemuda.

Mungkin dari segi usia, era Mukhriz bersama Pemuda sudah berlalu tetapi beliau adalah salah seorang 'produk' terbaik yang dikeluarkan oleh 'kilang' Pemuda. Kejayaan beliau sebelum ini menduduki tempat teratas dalam barisan Exco Pemuda telah memungkinkannya berada di tahap sekarang.

Biarpun ketika dalam Pemuda dahulu, beliau juga terpaksa berhadapan dengan banyak 'kerenah politik' namun Mukhriz tidak mahu memendam rasa. Bagi beliau apa yang penting dalam keadaan UMNO memerlukan gabungan kekuatan semua pihak, sebarang kekecewaan akibat kekalahan dalam merebut jawatan harus dihapuskan.

Seperkara lagi yang perlu diingat pengaruh Mukhriz dalam Pemuda cukup kuat, ini terbukti apabila dari segi perolehan undi antara beliau dan Khairy, mereka hanya dipisahkan dengan 72 undi sahaja, Khairy memperolehi 304 undi manakala Mukhriz 232 undi. Tambahan pula, ketika pencalonan di peringkat bahagian, Mukhriz mendapat pencalonan tertinggi.

Keadaan itu bermakna, pengaruh Mukhriz di dalam Pemuda tidak harus diketepikan, Mukhriz boleh memainkan peranan untuk menyatukan semula pergerakan itu yang sudah pasti berpecah akibat persaingan yang berlaku.

Kegagalan Mukhriz merebut jawatan Ketua Pemuda bukanlah segala-galanya sudah berakhir bagi beliau. Mukhriz merupakan salah seorang pemimpin muda dan pelapis yang bakal menjadi harapan kepada UMNO.

Oleh itu kepimpinan baru di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak sudah tentu akan turut meletakkan beliau dalam senarai orang yang perlu dipertimbangkan untuk berada dalam barisan Kabinet baru dan Majlis Tertinggi yang dilantik.

Kewibawaan beliau ketika mempengerusikan Biro Antarabangsa UMNO serta kejayaan mengemudi Aman Malaysia seharusnya menjadi pertimbangan utama.

Selain itu, sama ada hendak diakui atau tidak, Mukhriz juga dilihat sebagai pemimpin pelapis bagi UMNO Kedah yang jelas pada masa ini kekurangan pemimpin yang diterima oleh rakyat.

Hakikatnya, masa sudah tiba untuk lebih ramai generasi muda dibawa masuk ke dalam kerajaan dan parti bagi memegang jawatan penting. Mereka ini seharusnya diberi tempat sewajarnya kerana melalui cara ini, UMNO dan kerajaan akan mampu menarik generasi muda menyokong parti itu.

Untuk tujuan itu juga, kepimpinan parti perlu menilai seorang demi seorang calon yang tewas (kecuali mereka yang eranya sudah berlalu) untuk sama-sama memperkukuhkan parti. Mungkin ada sesetengah calon yang tewas itu mempunyai kewibawaan dan berintegriti tetapi kalah kerana faktor-faktor lain.

Dalam membariskan pasukan yang diterima rakyat, insan-insan seperti Mukhriz harus diberi keutamaan dan bukannya seseorang yang ingin terus mempertahankan kedudukannya dalam kerajaan biarpun mengetahui hakikatnya dia sudah menjadi liabiliti kepada kerajaan.

Apa pun terserahlah kepada pucuk pimpinan menentukannya. Apa yang pasti jiwa besar yang ditunjukkan oleh Mukhriz harus menjadi contoh kerana beliau dilihat bersih, berwibawa dan berkebolehan, justeru kehadiran beliau tidak harus disia-siakan.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment